Sunday, March 17, 2013

Lihat kelemahan diri


Lihat kelemahan diri dulu

Kita terlalu banyak memikirkan apa yang berada di luar kita. Ramai orang menginginkan orang lain berubah.
Malah, kadang-kadang kita berkeinginan tetapi tidak kesampaian. Kita mahu negara kita berubah. Kita mahu orang berubah, kita bercita-cita mahu ubah pekerja kita tetapi malangnya anak isteri kita tidak mampu diubah.Kenapa kita tidak mampu mengubah orang lain? Antara sebabnya kita tidak pernah memberi masa bersungguh-sungguh untuk mengubah diri sendiri.

Rahsia mengubah orang ialah dengan mengubah diri sendiri. Betapa besar pun hasrat untuk mengubah orang lain sekiranya tidak dimulakan dengan diri sendiri ia akan menjadi hampa.

Kadangkala hasrat untuk mengubah orang lain akan menjadi bahan ketawa. Orang di sekeliling kita akan menyaksikan cakap tidak serupa bikin yang kita laungkan.

Sebagai perbandingan elok juga kita fikirkan perbandingan ini. Kalau kita hendak membina rumah apalah ertinya kita memikirkan dinding, pintu dan atap sekiranya tapak tidak kita bina.

“Mulakan dengan dirimu,” kata pepatah Arab. Inilah kunci orang yang berjaya. Berani mengejek itu mudah, berani berhujah itu mudah tetapi tidak ramai orang yang berani melihat kekurangan diri sendiri.

Ramai orang berani melihat kekurangan orang tetapi jarang orang berani membincangkan kelemahan diri sendiri.

Sebenarnya mengubah diri dengan penuh sedar adalah juga mengubah orang lain. Walaupun tidak sepatah kata kita ucapkan untuk ubah orang lain, perbuatannya yang berubah itu menjadi ucapan yang sangat bererti bagi orang lain.

Memang pengaruh dari kegigihan mengubah diri tidak akan spontan dirasakan. Tetapi percayalah ia akan membekas dalam minda orang lain.

Makin lama orang akan simpati dan terdorong juga untuk turut sama berubah. Lantas bagaimana kaedah mengubah diri?

Pertama: Mulalah dengan mengubah diri sendiri. Bagaimana mungkin kita mengajak orang berubah sedangkan kita tidak berubah. Jadilah seperti 'ketam mengajar anak berjalan betul' nanti cakap tidak serupa bikin.

Kedua: Mulakan dengan melakukan perkara yang kecil. Perkara yang kecil-kecil jika dilazimi akan membantu dan memudahkan untuk melakukan yang besar-besar. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit.

Perkara yang kecil jika sering diabaikan nanti berjangkit yang besar pun akan mudah diingkari. Banjir besar diawali dengan titik-titik hujan yang kecil.

Ketiga: Mulakan sekarang (Do it now). Jangan bertangguh lagi. Semakin bertangguh semakin melarat. Masalah yang kecil-kecil akan jadi besar jika dibiarkan.

Keempat: Paksa diri dengan sepenuh hati. Nafsu jika tidak dipaksa nanti jadi degil.

Kelima: Belajar menghukum diri sendiri. Kalangan sahabat pernah menghukum diri dengan berpuasa kerana mengumpat.

Keenam: Kena ulang dan ulang dan ulang dan ulang dan ulang kebaikan sehingga sebati dengan diri.


 

Friday, March 15, 2013

Rahsia pemakanan ilmuwan Islam

ANAK PINTAR

Definisi tepat tahap kecerdikan sebenar individu

BUKAN sedikit ibu bapa yang mengidamkan anak seperti Sufiah Yusof, 24, yang memasuki universiti pada usia 13 tahun dan Adi Putra Abdul Ghani yang mengejutkan ramai pihak kerana kemampuan menyelesaikan masalah matematik. Tidak kurang juga yang mengidamkan anak seperti Muhammad Ahmad Zahid yang bergelar hafiz muda pada usia 13 tahun.

Semua pasti mahukan zuriat yang pintar kerana inilah ‘tiket’ kepada masa depan lebih cerah. Penat lelah membesarkan mereka seakan berbaloi apabila si anak membawa pulang kejayaan. Namun, apakah mereka ini pintar, berbakat, genius atau pun prodigy? Jangan keliru kerana inilah takrifan sebenar keupayaan mereka berdasarkan istilah psikologi.

Seperti kata-kata ‘serupa tapi tak sama,’ pakar linguistik dan Pengasas PTS Publications and Distributors Sdn Bhd, Ainon Mohd, berkata masih ramai yang tidak dapat membezakan istilah sebenar ini.

"Semua anak dilahirkan pintar tetapi yang memberi impak ialah cara kita merangsang mereka. Ibu bapa mesti mempunyai misi jelas iaitu menanam tekad membentuk masa depan anak"

Fadzilah Kamsah
Pakar motivasi
“Aspek berbakat, pintar dan genius adalah antara perkataan yang kerap digunakan untuk menggambarkan kebolehan seseorang anak kecil mengatasi usia tanpa menyedari ia sebenarnya merujuk kepada makna yang kurang tepat.

“Genius adalah individu normal, tetapi mempunyai kebolehan menyelesaikan masalah teknikal yang sukar atau tidak dapat diselesaikan pakar lain. Contoh paling tepat menggambarkan seseorang yang dianggap genius ialah Albert Einstein dalam bidang sains fizik manakala Thomas Edison dalam bidang elektrik,” katanya yang berkelulusan ijazah sarjana muda linguistik Universiti Malaya dan sarjana dalam bidang sama Leeds University.

Beliau yang pernah mengikuti kursus kedoktoran dalam bidang psikologi, berkata seseorang itu disebut genius apabila dapat menyelesaikan masalah yang tidak mampu diselesaikan mereka yang normal. Justeru Einstein dan Edison layak digelar genius disebabkan mereka berjaya menyelesaikan masalah yang gagal diselesaikan saintis dan jurutera lain.

“Kanak-kanak yang layak digelar genius adalah kanak-kanak dapat menyelesaikan masalah yang gagal diselesaikan orang dewasa. Jika tidak, mereka setakat digelar berbakat atau pintar, bukan genius. Mereka yang dapat menghafal al-Quran pada usia tujuh tahun adalah berbakat, bukan genius.
“Istilah genius tidak boleh digunakan kepada kanak-kanak kerana belum ada kanak-kanak dapat menyelesaikan masalah setaraf orang dewasa. Einstein menyelesaikan masalah teori relativiti pada usia 25 tahun, selepas lulus universiti,” katanya.

Ainon mendakwa, disebabkan genius adalah pakar dalam sesuatu bidang, tiada kanak-kanak genius kerana anak kecil itu tidak mempunyai kepakaran ilmu. Oleh itu, baginya, tiada kanak-kanak genius dalam bidang sains, kejuruteraan, kedoktoran ataupun perfileman atau yang bergelar pakar bedah.

Satu lagi istilah ‘prodigy’ yang merujuk keupayaan kanak-kanak melakukan perkara yang hanya dapat dilakukan orang dewasa.

“Kanak-kanak pada usia lapan tahun yang dapat mengikuti pelajaran matematik peringkat universiti atau mencipta muzik seperti pemuzik dewasa, selayaknya digelar ‘prodigy.’ Mereka ini hanya ada dalam dua bidang iaitu matematik dan muzik. Kanak-kanak prodigiy mempunyai kepintaran orang dewasa dalam bidang matematik ataupun muzik saja. Dalam lain-lain hal, mereka adalah kanak-kanak seperti budak lain,” katanya.

Persoalannya, apakah ada sebarang petua mendapatkan anak pintar ini? Pakar motivasi terkenal, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah, berkata ini terletak kepada usaha ibu bapa mencari dan memperbaiki kelemahan diri terlebih dulu selain mengamalkan doa dan ajaran berlandaskan al-Quran dan Sunnah.

“Doa adalah senjata umat Islam dan sebaik kandungan mencecah empat bulan, ibu digalakkan bacaan surah al-Fatihah, ayat Kursi dan surah al-Inshirah. Bapa juga perlu mengambil tanggungjawab membaca surah berkenaan dan dihembuskan ke perut isteri.

“Surah Fatihah adalah ibu al-Quran, ayat Kursi bertujuan menghalau gangguan syaitan manakala surat al-Inshirah untuk melapangkan hati dan fikiran. Apabila hati terang dan lapang, anak mudah menerima pelajaran. Ibu juga digalakkan membaca surah berkenaan ketika menyusukan anak dan dihembuskan di kepala. Ia boleh diteruskan sehingga anak cukup umur,” katanya.

Katanya, satu perkara perlu diingati oleh semua ibu bapa iaitu semua anak dilahirkan pintar cuma cara merangsang yang membezakan impaknya. Ini wujud dalam bentuk pakej iaitu mesti membetulkan hati, otak, makanan, persekitaran dan didikan.

Beliau menegur sikap kebanyakan ibu bapa yang tidak mempunyai misi jelas dalam usaha memulakan keluarga.

“Semua anak dilahirkan pintar tetapi yang memberi impak ialah cara kita merangsang mereka. Bagi tujuan itu, ibu bapa mesti mempunyai misi jelas iaitu menanam tekad membentuk masa depan anak sebagai doktor misalnya. Ibu dan bapa perlulah memupuk minat anak menjadi doktor dengan membaca buku berkaitan perubatan sejak hamil.

“Wanita Yahudi misalnya, mendidik anak sejak dalam kandungan. Sebaik hamil, mereka akan membuat latihan matematik, mendengar muzik dan bermain muzik untuk merangsang perkembangan anak. Ia terbukti berkesan dan jangan hairan jika anak-anak Yahudi dilahirkan bijak. Kita juga boleh berbuat demikian. Malah sebagai orang Islam kita mempunyai 1,001 cara untuk membentuk anak menjadi pintar dan soleh pada masa sama,” katanya.

Dr Mohd Fadzilah berkata, dia sendiri pernah bertemu dengan seorang wanita yang tidak pernah lalai membaca sehingga satu juzuk al-Quran setiap hari sepanjang hamil.

“Jika dia keletihan, suaminya akan menyambung membaca dan pahala dihadiahkan kepada bayi dalam kandungan. Anak itu dilahirkan dan membesar menjadi seorang lelaki yang bijak, pintar dan tinggi akhlaknya. Ini bukti betapa ayat Quran dan doa cukup berkesan dalam usaha membentuk anak pintar. Jika tidak berkesempatan mendidik anak dari dalam perut, belum terlambat untuk berbuat demikian walaupun mereka sudah menjejak alam persekolahan,” katanya.

Malah, baginya, antara saat paling mustajab mendidik anak ialah ‘hypnagogic moment’ iaitu masa antara anak berada dalam keadaan antara sedar dan tidak ketika hendak tidur.

“Ketika itu, mereka seolah-olah terpukau dan apa saja yang disebutkan ketika itu akan meresap masuk ke dalam hati. Rebut peluang untuk membisikkan kata-kata nasihat, pujian dan pesanan ketika mereka dalam keadaan itu dan Insya-Allah anak-anak akan menurut apa yang dikatakan.

“Waktu lain yang turut memberi impak besar kepada usaha ibu bapa memberi didikan ialah sebelum anak-anak tidur, sedang tidur dan baru bangun tidur. Ambil masa seminit, dua untuk membacakan doa sambil mengusap kepala mereka selain memberikan nasihat,” katanya.

Beliau turut menegur tindakan ibu bapa yang selalu terlanjur mengeluarkan perkataan negatif ketika marah.

“Kata-kata itu satu doa. Anak boleh dimarah dan kena dimarah tetapi biarlah marah itu berunsurkan positif. Jangan sesekali keluarkan perkataan degil, keras kepala kepada anak. Sebaliknya jika mereka melakukan sesuatu kesilapan, katakan kepada mereka: “Kamu anak baik. Kamu anak bijak. Mengapa lakukan perkara itu,” katanya.

'Formula Adi Putra berasaskan kiraan Islam'

IMPIAN untuk bertentang mata dengan Adi Putra Abdul Ghani, 11, tidak kesampaian kerana dia berada di kampung neneknya yang baru meninggal dunia. Namun peluang bertemu ayahnya memberi kesempatan mengenali siapa sebenarnya Adi Putra yang mendapat pengiktirafan antarabangsa dan sehingga kini sudah mencipta 228 formula menyelesaikan masalah matematik.

Kisah kepintaran Adi Putra menyelesaikan masalah matematik sudah terlalu banyak diperkatakan tetapi kali ini penulis dihidangkan dengan sisi lain budak cerdik itu.

Menerusi paparan cakera padat, Adi Putra hanya menonjol dalam matematik tetapi pelbagai bidang lain yang melampaui usia sebenarnya.

“Ia satu anugerah Allah yang wajar kita syukuri. Ia juga satu bukti kehebatan Allah yang mampu memilih sesiapa saja untuk diberikan keistimewaan biarpun makhluk itu semuda Adi Putra,” kata Abdul Ghani ketika ditemui baru-baru ini.

Menariknya mengenai Adi Putra ialah semua formula matematiknya berasaskan cara kiraan Islam 100 peratus dan cara penyelesaiannya berdasarkan cakerawala, peredaran bulan, matahari, bumi serta menggunakan semua ciptaan Allah SWT di muka bumi ini seperti bukit dan tidak ketinggalan mengguna pakai perkiraan orang dulu.

Abdul Ghani mendakwa, kaedah pengiraan itu diiktiraf pakar antarabangsa malah di luar negara satu formula Adi Putra dinilai bersamaan RM1 juta dan modul sifir yang dihasilkannya bernilai berbilion ringgit.

“Jangan anggap Adi Putra budak kecil kerana selain pintar dalam matematik, dia juga mampu mengajar, petah berbicara walaupun ketika ditemubual stesen televisyen antarabangsa malah tidak kekok bersama dengan pembesar negara,” katanya.

Katanya, anaknya itu juga diiktiraf memiliki pengetahuan ilmu matematik berusia 400 hingga 500 tahun dulu yang pernah dikuasai ilmuwan Islam. Adi Putra bukan hanya menguasai formula matematik sebaliknya mengkaji setiap nombor.

“Kita dianugerahkan jari dan pelbagai bentuk bantuan semula jadi untuk mengira. Adi Putra juga menggariskan tiga perkara yang merosakkan dan melemahkan minda umat Islam iaitu terciptanya kalkulator, Sistem Pesanan Ringkas (SMS) dan permainan video.

“Matematik dan sains tidak dimonopoli sesuatu bangsa sebaliknya terpulang kepada kita untuk menguasainya. Ilmuwan Islam terdahulu sudah membuktikan betapa kita sebenarnya menguasai matematik, bukan orang lain.

“Apa yang penting ialah bukan sekadar anak kita bijak tetapi juga kreatif. Adi Putra mengajar budak lain untuk turut kreatif mencari penyelesaian kepada masalah matematik dengan tempoh paling cepat,” katanya.

Malah, kata Abdul Ghani, salah seorang pelajarnya cuma mendapat satu markah daripada 50 soalan matematik dan selepas mengikuti kelas Adi Putra, dia mampu memperoleh 100 peratus selepas dua hari.

INFO: Tip untuk ibu bapa

  • Sebaik kandungan mencecah empat bulan, ibu digalakkan baca surah al-Fatihah, ayat Kursi dan surah al-Inshirah. Surah Fatihah adalah ibu al-Quran, ayat Kursi bertujuan menghalau gangguan syaitan manakala surat al-Inshirah untuk melapangkan hati dan fikiran.
  • Selepas bersalin, baca surah berkenaan ketika menyusukan anak dan dihembuskan di kepala. Ia boleh diteruskan sehingga anak cukup umur.
  • Waktu ketika anak antara sedar dan tidak. Rebut peluang bisikkan kata-kata nasihat, pujian dan pesanan. Ambil masa seminit, dua untuk membacakan doa sambil mengusap kepala mereka selain memberikan nasihat.
  • Doakan kejayaan anak, rakan anak mereka, anak rakan dan jiran.


FAKTA: Rahsia pemakanan ilmuwan Islam

  • 1) Madu - Madu adalah makanan yang sangat berkhasiat. Al-Quran mengiktiraf ia ‘shifa’ iaitu penyembuh penyakit. Madu didapati berkesan untuk merawati penyakit dan boleh menghindarkan kepenatan kerja otak seperti berfikir, membaca, merancang dan bermesyuarat. Ia perlu diambil dua sudu teh (gunakan sudu plastik) pada waktu pagi dan malam.
  • 2) Kismis - Mengandungi zat besi yang amat diperlukan untuk membina darah bagi memastikan bekalan oksigen yang mencukupi untuk disalurkan ke otak. Adab memakannya ialah dengan mengadap Kiblat, membaca Bismillah dan selawat tiga kali diikuti doa penerang hati. Ia perlu dimakan seperti memakan gula-gula kerana dikatakan tidak berkesan jika dikunyah dan diambil satu persatu sebanyak 21 biji setiap hari.
  • 3) Susu segar - Susu berguna untuk kesihatan otak, mempertajamkan ingatan, membekalkan tenaga mental dan fizikal. Susu mengandungi tiga unsur semula jadi iaitu keju, lemak dan air yang amat diperlukan untuk pertumbuhan badan dan otak. Susu yang terbaik untuk ketajaman minda ialah susu kambing, biri - biri dan lembu yang segar. Ia diminum segelas pada sebelah pagi dan malam.
  • 4) Telur - Bermanfaat untuk menambah kekuatan otak, badan dan menjaga kesihatan keseluruhannya. Ahli - ahli kesihatan mengakui ia adalah makanan yang lengkap dan berkhasiat. Telur yang terbaik ialah telur ayam kampung dan yang masih baru.
  • 5) Halia - Ia sangat mujarab untuk menghindar masalah lupa. Ia boleh dimakan mentah atau dibuat halwa. Halwa ialah halia yang dijadikan Dimakan sedikit saja pada waktu pagi.
  • 6) Buah Delima - Mujarab untuk penerang hati seperti sabda Nabi Muhammad SAW: “Sesiapa yang memakan buah delima keseluruhannya, sesungguhnya Allah menerangkan hatinya selama 40 hari.”

Sumber


  • Foto

Thursday, March 14, 2013

Sejarah Bahasa Kesusasteraan Dan Kebudayaan Melayu


 Sejarah Bahasa Kesusasteraan 

Dan Kebudayaan Melayu





FORUM 1 : Moderator : Azhar bin Wahid




Soalan : 


Jelaskan apa yang anda faham dengan konsep kaum dan bangsa Melayu. 



Assalammualaikum wbt dan Salam Perpaduan 1Malaysia 


           Ada banyak pendapat mengenai konsep kaum. Kebiasaannya kaum atau bangsa merujuk pada kulit, agama, warganegara, mata, rambut, bahasa atau salasilah keluarga. Ahli pemikir juga tidak sekata apabila memberi definisi bangsa.  Rakyat di Malaysia didominasi oleh lima bangsa yang utama iaitu Melayu, Cina dan India di semenanjung manakala Iban dan Kadazan di Sabah dan Sarawak. Setiap bangsa ini diklasifikasi melalui pelbagai simbol dan identiti yang sama.



 Bangsa Melayu mempunyai definisi yang jelas di dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu seorang yang beragama Islam, lazimnya bertutur bahasa Melayu, mengamalkan adat istiadat Melayu dan lahir sebelum hari merdeka sama ada diPersekutuan atau di Singapura atau pada hari merdeka, dia bermastautin di Persekutuan atau di Singapura.


 Kita kena faham yang Bangsa Melayu dan Kumpulan Etnik Melayu adalah dua benda yang berlainan. Bangsa Melayu merujuk kepada masyarakat Melayu di Malaysia. Manakala Kumpulan Etnik Melayu merujuk kepada masyarakat Melayu secara khusus kepada Semenanjung Malaysia dan Kepulauan Sumatera.


         Definisi kaum menurut Kamus Pelajar Bahasa Malaysia Cetakan Kesembilan (1993) Dewan Bahasa Dan Pustaka kaum bermaksud golongan orang sebagai sebahagian daripada satu bangsa yang besar,suku bangsa.  kaum juga diiktiraf sebagai perkataan lain bagi bangsa.  Malaysia sebagai salah satu negara berbilang bangsa dan rakyat hidup dalam aman dan harmoni.    3  kaum  utama  di  Malaysia  iaitu Melayu, Cina  dan   India   telah    menetap di   Tanah   Melay u   selama   5   abad.   Malaysia juga merupakan tanah air   kepada kira-kira 80 kaum etnik terutama di Malaysia Timur.  Ini termasuklah Baba, Nyonya, Kadazan , Dusun, dan Iban.


  Melayu merujuk kepada orang yang bertutur bahasa Melayu dan mengamalkan adat resam orang Melayu.  Lahirnya  perkataan Melayu daripada nama sebuah anak sungai bernama Sungai Melayu di hulu Sungai Batang Hari, Sumatera.  Di sanalah letaknya “Kerajaan Melayu” sekitar 1500 tahun dahulu sebelum atau semasa adanya Kerajaan Srivijaya.  Dari segi etimologi, perkataan “Melayu” itu berasal daripada perkataan Sanskrit “Malaya” yang bermaksud “bukit” atau pun tanah tinggi.  Terdapat juga sumber sejarah mengatakan bahawa perkataan “Melayu” berasal dari “Sungai Melayu” di Jambi. Masyarakat Melayu adalah salah satu komponen dari bangsa Malaysia. Di Malaysia, orang Melayu didefinisikan menurut perlembagaan dalam pekara 160(2). Menurut perkara ini, orang Melayu ditakrifkan sebagai:
  1. Seorang yang beragama Islam
  2. Bertutur bahasa Melayu
  3. Mengamalkan adat istiadat Melayu
  4. Lahir sebelum hari merdeka sama ada di Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) atau di Singapura atau pada hari merdeka, dia bermastautin di Persekutuan atau di Singapura.


Takrifan undang-undang ini adalah ditetapkan demi keperluan politik di negara Malaysia.
 Menurut Syed Husin Ali yang merupakan ahli antropologi di negara Malaysia, orang Melayu itu dari segi zahirnya, lazimnya berkulit sawo matang, berbadan sederhana besar serta tegap dan selalu berlemah lembut serta berbudi bahasa. Dari segi etnologi, Melayu bermakna kelompok masyarakat yang mengamalkan sistem kemasyarakatan dwisisi dan kegenerasian yang termasuk dalam bangsa Mongoloid.  Secara amnya terdapat 2 teori mengenai asal-usul bangsa Melayu iaitu:
  • Bangsa Melayu berasal dari Yunnan (Teori Yunnan)
  • Bangsa Melayu berasal dari Nusantara (Teori Nusantara)

Selain itu ada juga pendapat yang mengusulkan bahawa orang Minangkabau itu berasal daripada pengikut Nabi Nuh, iaitu bangsa Ark yang mendarat di muara Sungai Jambi dan Palembang, semasa banjir besar berlaku di bumi. Tetapi pendapat ini masih belum mendapat bukti yang kukuh.  Teori ini disokong oleh beberapa sarjana seperti R.H Geldern, J.H.C Kern, J.R Foster, J.R Logen, Slametmuljana dan juga Asmah Haji Omar.  Secara keseluruhannya, alasan-alasan yang menyokong teori ini adalah seperti berikut:

Teori ini merupakan teori yang popular yakni diterima umum. Contohnya, dalam buku Teks Pengajian Malaysia,[15] adapun menyatakan "nenek moyang" orang Melayu itu berasal dari Yunan.  Berdasarkan teori ini, dikatakan orang Melayu datang dari Yunan ke Kepulauan Melayu menerusi tiga gelombang yang utama, yang ditandai dengan perpindahan Orang Negrito, Melayu Proto, dan juga Melayu Deutro. Berikut adalah huraiannya.


  1. Kapak Tua yang mirip kepada Kapak Tua di Asia Tengah ditemui di Kepulauan Melayu. Perkara ini menunjukkan adanya migrasi penduduk dari Asia Tengah ke Kepulauan Melayu.
  2. Adat resam bangsa Melayu mirip kepada suku Naga di daerah Assam (berhampiran dengan sempadan India dengan Myanmar).
  3. Bahasa Melayu adalah serumpun dengan bahasa di Kemboja. Dengan lebih lanjut lagi, penduduk di Kemboja mungkin berasal dari dataran Yunnan dengan menyusuri Sungai Mekong. Perhubungan bangsa Melayu dengan bangsa Kemboja sekaligus menandakan pertaliannya dengan dataran Yunan.



Teori ini merupakan teori yang popular yakni diterima umum. Contohnya, dalam buku Teks Pengajian Malaysia, adapun menyatakan "nenek moyang" orang Melayu itu berasal dari Yunan.  Berdasarkan teori ini, dikatakan orang Melayu datang dari Yunan ke Kepulauan Melayu menerusi tiga gelombang yang utama, yang ditandai dengan perpindahan Orang Negrito, Melayu Proto, dan juga Melayu Deutro. Sebenarnya, bangsa Melayu merangkumi bukan sahaja Melayu Brunei,Indonesia, Malaysia, Singapura dan Selatan Thailand, tetapi juga Melayu Campa di Vietnam dan Kemboja, serta orang-orang Funan di Kemboja, Melayu Filipina, Madagaskar, Taiwan dan pribumi di Papua New Guinea dan pulau-pulau di Asia-Pasifik. 
 


Perkataan “Melayu” sebenarnya berasal dari bahasa Sanskrit, Malaya atau Malai, yang bermaksud “Gunung”; dan “Gunung” itu pula ialah perkataan Melayu moden untu perkataan purbanya “Pnom”. Marko Polo (pengembara Itali 1254-1323) merujuk bangsa atau bahasa Melayu sebagai Malaiur.  Catatan pegawai Portugis di Melaka, de Eradia seorang ahli matematik keturunan Melayu pada sekitar 1600, merujuk bahasa di Melaka sebagai Malaio; manakala catatan China sejak abad ke-6 lagi menyebutnya sebagai Mo-lo-yu, Molo-yoou dan Mo-lo-yeu.



Kaum atau bangsa Melayu adalah teras di negara ini. Definisi orang Melayu ialah orang beragama Islam, bertutur dalam bahasa Melayu dan adat Melayu yang mewakili raja-raja Melayu.



Sekian.  Terima kasih.


Friday, March 1, 2013

Autisme


Autisme

 

 http://www.wsnstilburg.nl/CMS/images/autisme.jpg


SEMAKIN ramai ibu bapa di Malaysia mempunyai anak yang disahkan mempunyai masalah autisme.



Hampir setiap hari pasti ada yang membawa anak bermasalah autisme ke Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah bagi mendapatkan rawatan.



Menurut Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM), setiap seorang daripada 150 kanak-kanak yang dilahirkan di seluruh dunia memiliki autisme dan dianggarkan 47,000 orang kanak-kanak di Malaysia menghidapnya.



Ada antara mereka memiliki tanda-tanda masalah autisme kronik dan ada yang baru sahaja di peringkat awal.



Umur anak-anak tersebut turut berbeza; 
dari berumur 6 bulan hingga lewat 20-an.



Kadangkala, bukan sahaja pesakit autisme mendapatkan rawatan bahkan ibu bapa dan ahli keluarga mereka juga ekoran tekanan yang kuat gara-gara menjaga pesakit tersebut.
Sifat sabar ibu bapa dan ahli keluarga amat dituntut dalam memberi penjagaan terbaik buat pesakit autisme.



Ingatlah bahawasanya Allah SWT sentiasa bersama mereka yang sabar. 



Firman Allah dalam 
surah Al-Baqarah ayat 153:



"Wahai orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan dengan sabar dan solat, sesungguhnya Allah bersama-sama orang yang sabar."



Pengenalan & ciri-ciri umum


 Autisme adalah satu bentuk

 kecacatan atau masalah kurang upaya

 sistem perkembangan saraf otak dan minda 

yang boleh berlaku seawal usia

 6 bulan dan satu sindrom ketidakupayaan

 yang boleh kekal sepanjang hayat

 jika tidak dirawat.



Penyakit autisme mengakibatkan fungsi memproses maklumat di dalam otak seseorang terjejas. Pesakit menunjukkan tiga jenis ketidakupayaan umum iaitu:



Masalah tidak mampu bersosial



Ini simptom utama penyakit autisme. Pesakit tidak tahu bergaul dengan orang sekeliling secara normal. Mereka selalunya tidak mempunyai sifat empati terhadap orang lain.Mereka tidak mengendahkan orang lain dan seperti termenung seorang diri.




Ada pesakit yang menunjukkan sikap tidak sepatutnya di depan orang ramai seperti menjerit sekuat hati atau membaling barang ke arah orang sekeliling. Malah, pesakit autisme lebih gemar menyendiri dan bermain seorang diri walaupun dikelilingi oleh rakan sebaya yang sedang bermain.



Kesukaran berkomunikasi 
secara berkesan dengan insan lain



Mereka selalunya lambat bercakap dan apabila cuba untuk berkomunikasi dengan orang lain, orang lain sukar memahami apa yang mereka cuba sampaikan.



Mereka kadangkala bercakap dalam nada pelik seperti menyanyi. Malah, ada di antara pesakit autisme lebih gemar menggunakan bahasa isyarat tangan untuk menyampaikan hasrat di hati kepada ibu bapa.



Masalah tingkah laku dan pemikiran



Ada di antara mereka yang gemar melakukan satu-satu perkara berulang kali
 (compulsive behaviour).



Ada juga yang mempunyai minat pelik dan berlaku agresif sekiranya ada sesiapa cuba menghalang minat tersebut.



Sebagai contoh, ada pesakit kami yang hobinya membawa ranting pokok ke mana dia pergi dan akan memarahi sesiapa sahaja yang cuba mengambil ranting tersebut dari tangannya.



Tanda-tanda penyakit ini selalunya muncul secara beransur-ansur dan terus bertambah kronik (jikalau tidak mendapatkan sebarang rawatan) sehingga ke umur dewasa.



Punca-punca 


Masalah autisme berlaku 

tanpa mengira kira bangsa, 

latar belakang pendidikan, kedudukan

 status sosial ekonomi dan gaya hidup.



Sehingga hari ini, dunia perubatan moden masih belum dapat mengesan secara pasti punca sebenar penyakit ini. Mengikut perubatan moden, pengaruh genetik boleh meningkatkan risiko seseorang mendapat anak autisme.



Selain itu, sangat penting buat semua ibu bapa yang mempunyai anak autisme untuk memahami bahawa penyakit tersebut tidak berpunca daripada asuhan atau penjagaan yang tidak baik semasa anak masih bayi.



Dalam pengalaman kami di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah merawat anak-anak autisme, terdapat kes melibatkan elemen gangguan makhluk halus terutamanya saka yang menyebabkan masalah autisme.



Gangguan saka selalunya diwarisi melalui keturunan keluarga terdahulu di mana makhluk halus ini merosakkan saraf dan minda pesakit menyebabkan berlakunya autisme.



Sukar untuk perubatan moden membuktikan wujudnya pengaruh makhluk halus dalam anak-anak autisme ini tetapi sudah ramai pesakit menunjukkan perubahan positif selepas makhluk halus ini dikeluarkan daripada tubuh badan mereka.


Tanda-tanda awal autisme 




Antara tanda awal 

masalah autisme yang boleh

 berlaku seperti;

- Anak yang tidak mengeluarkan sebarang perkataan yang boleh difahami sehingga umur 16 bulan.

-Tidak menunjukkan minat untuk bermain atau berinteraksi dengan kanak-kanak lain.

-Tidak menggunakan jari telunjuk untuk menunjuk sebarang objek.

- Gagal memberi respons apabila nama dipanggil.

- Suka menyendiri.

- Suka menyusun objek mengikut susunan tersendiri.


Senarai di atas hanyalah sebahagian daripada tanda awal masalah autisme dan sebarang diagnosis akhir haruslah dirujuk kepada pakar perubatan kanak-kanak.



Rawatan moden 




Rawatan untuk penyakit autisme

 pada masa kini melibatkan 

banyak aspek terutamanya dari segi

 pendidikan khas sejak usia awal.



Objektif utama rawatan adalah untuk mengurangkan tekanan dalam keluarga, meningkatkan kualiti hidup pesakit dan melatih pesakit agar mampu berdikari dalam hampir semua aspek kehidupan.



Buat masa ini, tiada rawatan tunggal yang mampu merawat autisme. Selalunya beberapa jenis rawatan perlu diolah mengikut keperluan setiap kanak-kanak autisme.



Contoh rawatan yang selalu diguna pakai adalah senaman fisioterapi, terapi kognitif dan sikap, terapi pertuturan dan kaunseling keluarga.



Ahli keluarga terutama ibu bapa selalunya diberi kaunseling dan latihan dalam menghadapi kerenah anak autisme.



Selain itu, guru yang terlatih dalam bidang Pendidikan Khas turut memainkan peranan penting memastikan kanak-kanak autisme mendapat pendidikan mengikut cara sesuai dengan keperluan masalah mereka.



Di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, 
keluarga pesakit autisme akan diberi ayat-ayat berikut untuk diamalkan, disertai doa untuk memohon penyembuhan.



Ayat-ayat tersebut adalah:


1. Surah Az-Zumar ayat 24 hingga 37

2. Surah Al-Hijr ayat 66 hingga 99

3. Surah Yaasin ayat 43 hingga 58

4. Surah Al-Hajj ayat 40 hingga 55

5. Surah Al-Hajj ayat 73 hingga 78



Cara mengamalkan ayat al-Quran tersebut ialah keluarga pesakit hendaklah membaca surah pertama iaitu surah Az-Zumar tiga kali pada malam dan surah kedua iaitu surah Al-Hijr tiga kali waktu siang.



Amalkan setiap hari selama tiga hingga empat minggu. Selepas membaca tiga kali, keluarga pesakit perlu berdoa kepada Allah untuk penyembuhan. Selepas membaca dua surah pertama tadi, keluarga pesakit hendaklah mengulang dengan surah berikutnya.


Penutup 


Ibu bapa yang mempunyai

 anak autisme, jangan 

berputus asa  berikhtiar untuk 

merawat anak masing-masing.


Jangan anggap anak autisme tidak dapat ditolong lalu hanya berserah kepada takdir. Yakinlah bahawa pertolongan pasti akan datang bagi mereka yang mencarinya.


Hasil pengalaman kami merawat anak autisme, ada yang menunjukkan perubahan positif dari segi sikap, kecekapan, pertuturan dan 


keupayaan untuk berdikari.
Yang penting, kita haruslah yakin bahawa segala sesuatu yang berlaku hanya boleh berlaku dengan izin Allah.


Kita harus reda akan ketentuan Ilahi. Maka, jika ada masanya kita merasakan sudah tidak dapat lagi bertahan dan perasaan putus asa mula menguasai, cepat-cepatlah kita ingat bahawa apa yang berlaku adalah ujian daripada Allah SWT.