“Ada tiga perkara yang saya bersumpah dengannya. Pertama,
harta yang disedekahkan tidak berkurang. Kedua, sesiapa yang dianiaya
dan dia bersabar dalam deritanya, Allah SWT jadikan dia lebih mulia. Ketiga, sesiapa yang membuka pintu permintaan, Allah SWT bukakan pintu
kemiskinan untuknya.
Dunia ini hanya untuk empat jenis manusia.
Pertama, orang yang
Allah SWT beri rezeki dalam bentuk harta dan ilmu pengetahuan, kemudian
dia bertakwa kepada Tuhan, merapatkan hubungan tali kekeluargaan dan
tahu hak Allah SWT dalam apa yang dimilikinya, itu adalah tingkatan
manusia yang paling utama.
Kedua, orang yang diberi Allah SWT ilmu pengetahuan tetapi tidak
diberi harta, dan dia menyimpan niat yang benar, dan dia berkata: Jika
saya mempunyai harta, saya lakukan kebaikan seperti yang dilakukan oleh
si fulan. Disebabkan niatnya yang benar itu, dia diberi pahala yang sama
banyak dengan pahala orang yang dijadikan contoh olehnya.
Ketiga, orang yang diberi harta oleh Allah SWT tetapi tidak
diberi ilmu pengetahuan, kemudian dia menggunakan hartanya untuk perkara
yang tidak diketahuinya, dan dia tidak pula bertakwa kepada Tuhannya,
dan dia tidak suka merapatkan hubungan tali kekeluargaan, bahkan dia
juga tidak tahu hak Allah SWT dalam apa yang dimilikinya, orang begini
berada dalam kedudukan paling buruk.
Yakin harta tak berkurangan
Keempat, orang yang tidak diberi harta atau ilmu pengetahuan, dan
dia berkata: Andai kata saya mempunyai harta, saya melakukan perkara
buruk macam si fulan. Disebabkan niat buruknya itu, dia diberi dosa yang
sama banyak dengan dosa orang yang dijadikan contoh.” (Riwayat Tirmizi,
beliau menjelaskan ini hadis hasan sahih)
Kita dituntut menjadi orang yang murah hati dan suka membelanjakan
harta pada jalan Allah SWT demi mengharapkan keredaan-Nya. Jadi,
Sebagai pendorong, kita perlu yakin harta yang disedekahkan tidak akan
berkurangan.
Abu Umamah berkata, Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Hai manusia, percayalah, jika saudara sedekahkan apa yang lebih daripada saudara, itu
adalah lebih baik untuk saudara. Tidak salah jika saudara hidup dengan ala kadar saja. Mulakan pemberian kepada mereka yang menjadi tanggungan
saudara. Tangan yang memberi adalah lebih baik daripada tangan yang
menerima.”
(Riwayat Muslim)
Malah, ilmu pengetahuan juga adalah anugerah tidak ternilai kerana
ilmu dimiliki dapat memandu kita membina hidup yang baik, mengelak
daripada melakukan perkara menyalahi agama seterusnya meningkatkan
ketakwaan kepada Allah SWT. Justeru, gunakan kemampuan berfikir dan
kelebihan rezeki dikurniakan untuk menjadi manusia yang boleh memberi
manfaat kepada orang lain.