Batu dari syurga
Hajar Aswad dahulunya berwarna putih berkilauan, tetapi berubah menjadi hitam.
SEBUAH batu bundar yang berwarna hitam dan berlubang, terletak di
sudut timur Kaabah atau sebelah kiri Multazam (antara Hajar Aswad dan
pintu Kaabah), tingginya sekitar 150 sentimeter, di atas tanah.
Batu ini mempunyai lingkaran sekitar 30 sentimeter dan garis tengah
10 sentimeter, lebih besar daripada lingkaran muka seseorang.
Kerana itu, seseorang yang ingin mencium batu ini harus memasukkan
mukanya ke dalam lubang itu. Kepala yang besar pun dapat dimasukkan ke
dalam lubang batu hitam ini. Bahagian luar batu hitam ini diikat dengan
pita perak yang berkilat.
Asal dan Sejarah
Menurut banyak riwayat, antara lain daripada Abdullah bin Umar bin
Khattab, Hajar Aswad berasal dari syurga. Riwayat oleh Sa'id bin Jubair
r.a daripada Ibnu Abbas daripada Ubay bin Ka'b r.a, menerangkan bahawa
Hajar Aswad dibawa turun oleh malaikat dari langit ke dunia.
Abdullah bin Abbas juga meriwayatkan bahawa Hajar Aswad ialah batu
yang berasal dari syurga, tidak ada sesuatu selain batu itu yang
diturunkan dari syurga ke dunia ini.
Riwayat-riwayat di atas disebutkan oleh Abu al-Walid Muhammad bin
Abdullah bin Ahmad al-Azraki (M.224 H/837 M), seorang ahli sejarah dan
penulis pertama sejarah Mekah. Tidak ditemukan informasi yang jelas
tentang siapa yang meletakkan Hajar Aswad itu pertama kali di tempatnya
di Kaabah, adakah malaikat ataukah Nabi Adam a.s.?
Pada mulanya Hajar Aswad tidak berwarna hitam, melainkan berwarna
putih bagaikan susu dan berkilat memancarkan sinar yang cemerlang.
Abdullah bin Amr bin As r.a (7 SH-65 H) menerangkan bahawa perubahan
warna Hajar Aswad daripada putih menjadi hitam disebabkan sentuhan
orang-orang musyrik. Hal yang sama diungkapkan pula oleh Zubair bin Qais
(M. 76 H/65 M).
Dikatakannya bahawa sesungguhnya Hajar Aswad adalah salah satu batu
dunia yang berasal dari syurga yang dahulunya berwarna putih berkilauan,
lalu berubah menjadi hitam kerana perbuatan keji dan kotor yang
dilakukan oleh orang-orang musyrik.
Namun, kelak batu ini akan berwarna putih kembali seperti sedia kala.
Menurut riwayat Ibnu Abbas dan Abdullah bin Amr bin As, dahulu Hajar
Aswad tidak hanya berwarna putih tetapi juga memancarkan sinar yang
berkilauan. Sekiranya Allah SWT tidak memadamkan kilauannya, tidak
seorang manusia pun yang sanggup mamandangnya.
Kebakaran besar
Pada tahun 606 M, ketika Nabi Muhammad SAW berusia 35 tahun, Kaabah
mengalami kebakaran besar sehingga perlu dibina kembali oleh Nabi
Muhammad SAW dan kabilah-kabilah terdapat di Mekah ketika itu. Ketika
pembangunan semula itu selesai dan Hajar Aswad hendak diletakkan kembali
ke tempatnya, terjadilah perselisihan di antara kabilah-kabilah itu
tentang siapa yang paling berhak untuk meletakkan batu itu di tempatnya.
Melihat keadaan ini, Abu Umayyah bin Mugirah daripada suku Makzum,
sebagai orang yang tertua, mengajukan usul bahawa yang berhak untuk
meletakkan Hajar Aswad di tempatnya adalah orang yang pertama sekali
memasuki pintu Safa keesokan harinya.
Ternyata orang itu adalah Muhammad yang ketika itu belum menjadi
rasul. Dengan demikian, dialah yang paling berhak untuk meletakkan Hajar
Aswad itu di tempatnya. Akan tetapi dengan keadilan dan
kebijaksanaannya, Muhammad tidak langsung mengangkat Hajar Aswad itu.
Baginda melepaskan serbannya dan menghamparkannya di tengah-tengah
anggota kabilah yang ada. Hajar Aswad lalu diletakkannya di
tengah-tengah serban itu. Baginda kemudian meminta para ketua kabilah
untuk memegang seluruh tepi serban dan secara bersama-sama mengangkat
serban sampai ke tempat yang dekat dengan tempat diletakkannya Hajar
Aswad.
Muhammad sendiri memegang batu itu lalu meletakkannya di tempatnya.
Tindakan Muhammad ini mendapat penilaian dan penghormatan yang besar
dari kalangan ketua kabilah yang berselisih faham ketika itu.
Lingkaran pita perak
Awalnya, Hajar Aswad tidak dihiasi dengan lingkaran pita perak di
sekelilingnya. Lingkaran itu dibuat pada masa-masa berikutnya. Menurut
Abu al-Walid Ahmad bin Muhammad al-Azraki (M. 203 H), seorang ahli
sejarah kelahiran Mekah, Abdullah bin Zubair adalah orang pertama yang
memasang lingkaran pita perak di sekeliling Hajar Aswad, setelah terjadi
kebakaran pada Kaabah. Pemasangan pita perak itu dilakukan agar Hajar
Aswad tetap utuh dan tidak mudah pecah.
Pemasangan pita perak berikutnya dilakukan pada 189 H, ketika Sultan
Harun ar-Rasyid, Khalifah Uthmaniah (memerintah tahun 786-809 M),
melakukan umrah di Masjidil Haram. Ia memerintahkan Ibnu at-Tahnan,
seorang pengukir perak terkenal ketika itu, untuk menyempurnakan
lingkaran pita perak di sekeliling Hajar Aswad dan membuatnya lebih
berkilat dan berkilau.
Usaha berikutnya dilakukan oleh Sultan Abdul Majid, Khalifah
Uthmaniah (1225-1277 H/1839-1861 M). Pada tahun 1268 H, baginda
menghadiahkan sebuah lingkaran emas untuk dililitkan pada Hajar Aswad,
sebagai pengganti lingkaran pita perak yang telah hilang.
Lingkaran emas itu kemudian diganti semula dengan lingkaran perak
oleh Sultan Abdul Aziz, Khalifah Uthmaniah (1861-1876 M). Pada 1331 H,
atas perintah Sultan Muhammad Rasyad (Muhammad V, memerintah pada tahun
1909-1918), lingkaran pita perak itu diganti dengan lingkaran pita perak
yang baharu.
Untuk menjaga dan mengekalkan keutuhannya, Hajar Aswad sering dililit dan dilingkari dengan lingkaran pita perak.
No comments:
Post a Comment