Diskriminasi paksa Melayu berubah
Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my
PERKARA Lapan,
Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh tentang kesamarataan menyebut tidak
boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, ras
dan keturunan dalam mana-mana perniagaan, profesion, kerjaya atau pekerjaan.
Malangnya walaupun
perkara itu termaktub dalam Perlembagaan tertinggi negara, dari segi realiti
amalan itu tidak dilaksanakan terutama dalam kalangan syarikat Cina dan
syarikat dimiliki pihak asing di negara ini.
Ini terbukti apabila
siswazah kaum Melayu yang baru menamatkan pengajian didiskriminasikan semasa
mereka memohon pekerjaan di sektor swasta yang sebahagian besar dimiliki kaum
lain.
Apa yang dinyatakan
ini bukan kata-kata kosong penuh emosional yang dikeluarkan pertubuhan bukan
kerajaan (NGO) ultra-Melayu sebaliknya berasaskan fakta saintifik yang dikumpul
hasil kajian lapangan.
Cukup unik, kajian itu
dibuat oleh seorang ahli akademik Cina daripada sebuah universiti awam utama negara
yang dilaksanakan untuk tujuan kajian ilmiah tanpa sebarang agenda politik.
Menurut kajian itu,
faktor kaum lebih diutamakan berbanding kualiti pendidikan dengan siswazah kaum
Cina lebih berkemungkinan untuk dipanggil temu duga berbanding kaum Melayu yang
merupakan penduduk teramai di negara ini.
Kajian selama enam
bulan itu mendapati, syarikat yang dimiliki oleh kaum Cina dan pihak asing
lebih mengutamakan graduan kaum Cina untuk bekerja dengan mereka.
Daripada 3,012 resume
yang dihantar untuk 753 pekerjaan kepada syarikat terbabit, kaum Melayu hanya
mempunyai 4.2 peratus peluang untuk dipanggil menghadiri temu duga.
Kaum Cina pula
mempunyai sebanyak 22.1 peratus peluang walaupun mereka mempunyai kelulusan
setara dan lepasan universiti sama dengan kaum Melayu.
Kajian itu melibatkan
439 jawatan kosong di syarikat yang dimiliki kaum Cina, 131 jawatan di syarikat
milik asing dan 73 jawatan di syarikat milik Melayu dan selebihnya di syarikat
yang dimiliki secara bersama oleh pelbagai kaum.
Dalam erti kata lain,
siswazah kaum Cina mempunyai lima kali lebih kemungkinan untuk dipanggil temu
duga berbanding siswazah Melayu.
Kajian itu melibatkan
siswazah yang baru menamatkan pengajian daripada institusi pengajian tinggi
awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) tempatan yang memohon
bekerja dalam bidang kejuruteraan, perakaunan dan kewangan.
Menurut kajian itu,
siswazah daripada IPTA yang dikenali dan diiktiraf iaitu Universiti Malaya
(UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) lebih diutamakan majikan.
Sesuatu yang
mengejutkan, kajian itu mendapati syarikat milik orang Melayu lebih cenderung
mengambil lebih ramai siswazah Cina berbanding siswazah Melayu, walaupun
perbezaan bilangan antara siswazah kedua-dua kaum tidak terlalu ketara.
Sebenarnya kajian
berkenaan bukanlah kali pertama dibuat kerana beberapa kajian lain yang dibuat
sejak 33 tahun lalu juga menghasilkan kesimpulan yang serupa.
Antaranya kajian pada
1980 oleh pakar ekonomi, D. R. Snodgrass yang membuat kesimpulan syarikat yang
diterajui kaum Cina kebiasaannya tidak akan menggajikan pekerja Melayu.
Satu lagi kajian oleh
pakar ekonomi dari Norway yang turut terbabit merangka Dasar Ekonomi Baru
(DEB), Tan Sri Just Faaland pada 2003 juga mendapati pendapatan pekerja
bumiputera adalah 32 peratus lebih rendah berbanding pekerja Cina.
Kajian lain oleh Chr.
Michelsen Institute (CMI) pada 2005 bagi pihak Bank Dunia juga mendapati bukan
Cina dihalang daripada bekerja dalam sektor swasta dan sesiapa yang telah
bekerja akan mengalami diskriminasi termasuk gaji yang rendah dan payah untuk
naik pangkat.
Satu lagi kajian oleh
pakar ekonomi Bank Dunia, Branko Milanovic pada 2006 pula mempersoalkan kenapa
pekerja Cina menerima gaji lebih tinggi antara 20 hingga 40 peratus walaupun
mempunyai kelayakan dan menunjukkan prestasi sama dengan pekerja bumiputera.
Fakta telah dinyatakan
dan kita kini ingin bertanya apakah yang akan dilakukan oleh orang Melayu bagi
memastikan mereka tidak terus dipinggirkan dalam bidang ekonomi dan sektor
pekerjaan swasta di negara sendiri?
Perkara paling mudah
adalah membuat desakan supaya tauke Cina menghormati Perlembagaan Persekutuan
dengan memberikan pekerjaan secara sama rata kepada semua etnik.
Hakikatnya desakan itu
telah dibuat sejak kajian Snodgrass didedahkan 33 tahun lalu dan ia tidak
pernah diendah oleh tauke-tauke Cina terbabit.
Cara lain seperti yang
dicadangkan oleh ahli akademik Cina yang membuat kajian terbaharu berkenaan
adalah supaya kerajaan menggubal Akta Peluang Saksama di sektor swasta dan awam
serta menubuhkan sebuah suruhanjaya bagi memantau pelaksanaan akta berkenaan.
Cadangan lain adalah
supaya kerajaan memberikan insentif kepada syarikat yang mempunyai pekerja
berbilang kaum yang seimbang.
Selain itu, orang
Melayu juga perlu membuang sikap buruk mereka dan hendaklah sanggup belajar
nilai etika dan budaya kaum Cina yang telah membuatkan kaum itu berjaya dalam
bidang perniagaan dan kerjaya masing-masing.
Seperti yang
dinyatakan dalam kajian terbaharu tersebut, diskriminasi yang dihadapi siswazah
Melayu bukan disebabkan prejudis perkauman sebaliknya faktor-faktor lain.
Walaupun kajian itu
tidak menyatakan apakah faktor-faktor berkenaan, komen pelbagai pihak sebelum
ini menyatakan ia berpunca daripada persepsi salah bahawa pekerja Melayu tidak
sanggup bekerja kuat dan tidak menghayati nilai etika dan budaya yang telah
menyebabkan kaum Cina berjaya dalam bidang ekonomi.
Persepsi ini juga
berpunca kerana graduan kaum Melayu dianggap berjaya mendapat pendidikan tinggi
bukan hasil daripada usaha sendiri sebaliknya kerana sokongan dasar afirmatif
seperti DEB.
Sebab itu, kajian
terbaharu itu mendapati siswazah Melayu dari Universiti Tunku Abdul Rahman
(UTAR) yang didominasi kaum Cina yang terdedah dengan nilai etika dan budaya
kaum berkenaan mempunyai lebih banyak peluang untuk dipanggil temu duga oleh
syarikat milik etnik Cina.
Peluang juga lebih
cerah jika siswazah kaum Melayu berkebolehan menulis, bertutur dan membaca
dalam bahasa Cina.
Jika sebelum ini orang
Melayu begitu ghairah untuk mempelajari nilai etika kerja orang Jepun, kenapa
kita tidak mula belajar rahsia kaum Cina yang telah membolehkan mereka berjaya
dalam bidang ekonomi dan pekerjaan.
Tidak mustahil pada
masa depan orang Melayu akan diberikan kepercayaan untuk menerajui syarikat
Cina dan kaum itu menerajui syarikat Melayu.
Ketika itu, kita sudah
pasti telah mencapai apa yang disebut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak sebagai national reconciliation atau perdamaian kebangsaan.
Sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130606/re_02/Diskriminasi-paksa-Melayu-berubah