Melayu dan cabaran 2014
Orang Melayu kena bersaing dengan bangsa lain menjadi individu cemerlang
Baru-baru
ini saya dikunjungi oleh seorang tetamu yang baharu sebulan menerima
status kerakyatan Malaysia dan melepaskan kewarganegaraan Singapura
sebaik beliau bersara daripada perkhidmatan awam negara itu walaupun
anaknya terus kekal menjadi rakyat Singapura.
Beliau merafakkan kesyukuran yang tidak terhingga diterima
menjadi rakyat Malaysia selepas lebih 50 tahun menjadi rakyat Singapura
dan mencurah bakti sebagai seorang pendidik di negara pulau itu. Secara
sinis dan sebagai manifestasi kesetiaannya kepada negara baharunya,
beliau memaklumkan kepada saya bahawa beliau kini menyokong pasukan
Harimau Muda berbanding Young Lions dalam Sukan SEA yang lalu.
Suara yang berkaitan dengan hak orang Melayu akan
terus saja dilabelkan sebagai perkauman sempit, manakala yang berkaitan
dengan hak kaum lain akan disifatkan sebagai hak asasi manusia”
Selain mengagumi kemakmuran yang ada dalam negara kita ini,
beliau amat berbangga dengan pencapaian negara kita, tetapi melahirkan
kebimbangan jika orang Melayu Malaysia terus duduk dalam zon selesa dan
hanya mampu menjadi penonton dalam kepesatan pembangunan negara.
Kebimbangan yang disuarakan oleh seorang yang pernah menjadi rakyat
Singapura terhadap masa depan orang Melayu Malaysia ini sangat berasas
dan tidak mustahil nasib Melayu Singapura yang semakin terpinggir akan
turut berlaku kepada orang Melayu di negara kita.
Kedudukan agama Islam dipersoal
Sejak kebelakangan ini, orang Melayu dan umat Islam kelihatan agak
lemas menangani asakan tanpa henti daripada pelbagai disiplin kehidupan.
Kelihatan kedudukan agama Islam sebagai Agama Persekutuan sudah mula
dipersoalkan mereka yang menuntut kesamarataan agama.
Saki-baki hak keistimewaan orang Melayu yang tinggal pula
mahu digantikan dengan hak kesamarataan atas alasan keadilan, begitu
juga dalam soal pembinaan rumah ibadat. Malah, kalimah Allah yang
digunakan secara eksklusif oleh orang Islam di negara ini pun hendak
digunakan oleh agama lain.
Senario seumpama ini jelas menekan
orang Melayu. Suara yang berkaitan dengan hak orang Melayu akan terus
saja dilabelkan sebagai perkauman sempit, manakala yang berkaitan dengan
hak kaum lain akan disifatkan sebagai hak asasi manusia.
Terkadang menjadi suatu yang dianggap berdosa hinggakan seseorang boleh
kehilangan pangkat dan jawatannya hanya kerana mengingatkan khalayaknya
akan sejarah penubuhan negara ini.
Sedangkan kita tahu
sementara orang Melayu terus mendapat nikmat dalam bumi ini, kaum lain
pun turut sama menuai hasil tanpa perlu berasa takut atau dianaktirikan.
Tentu saja kita boleh meneliti statistik penganugerahan status warga
negara yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara sejak merdeka
yang jelas menunjukkan betapa ramai kaum bukan Melayu menikmati anugerah
ini.
Melayu kian hilang jati diri
Tahun demi
tahun, orang Melayu kian hilang jati diri yang menjadi asas keutuhan
sesuatu kaum. Tentunya orang Melayu tidak boleh hanya menyalahkan orang
lain semata-mata. Orang Melayu perlu segera dikejutkan dan keluar dari
zon selesa di tanah air sendiri. Satu masalah lazim yang ada bagi
penduduk asal sesebuah negara adalah kegagalan mereka untuk keluar
daripada kepompong keselesaan hingga mengakibatkan mereka menjadi lemah.
Apabila kita meneliti satu demi satu peruntukan di dalam
Perlembagaan Persekutuan, kita akan dapati bahawa tidak ada satu pun
dalam peruntukan tersebut merujuk kepada terma Ketuanan Melayu. Apa yang
dimaktubkan adalah hak keistimewaan orang Melayu. Sedikit hak
keistimewaan yang ada ini sebenarnya sudah mencukupi untuk menjadi
pemangkin kepada kebangkitan sebuah bangsa Melayu yang hebat.
Sebaliknya, hak keistimewaan ini tidak boleh lagi menjadi gula-gula bagi
memapah bangsa Melayu kerana perlindungan melalui penguatkuasaan
perundangan tidak akan selamanya boleh menjadikan bangsa Melayu menjadi
bangsa yang kuat. Malah, ia boleh mengakibatkan orang Melayu dilihat
sebagai kaum majoriti dengan suara minoriti.
Dalam banyak
keadaan, penguasaan ekonomi dan kuasa wang boleh saja meruntuhkan tembok
dan pagar yang dibina bagi melindungi orang Melayu apatah lagi kita
hidup dalam zaman yang mana kuasa wang diletakkan sebagai keutamaan
paling tinggi dalam kehidupan kita.
Tetamu itu seterusnya
mengingatkan saya bahawa mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa
Perkara 152 dalam Perlembagaan Republik Singapura menyatakan bahawa hak
istimewa orang Melayu yang dirujuk oleh Perlembagaan itu sebagai
‘penduduk asal negara Singapura’ hendaklah dijamin oleh pemerintah
negara republik itu.
Pemerintah Singapura mempunyai
tanggungjawab undang-undang untuk memastikan bahawa orang Melayu sebagai
penduduk asal Singapura dapat mempertahan dan meningkatkan kedudukan
politik, ekonomi, pelajaran, agama Islam dan sosio budaya kaum Melayu.
Sambil mengakui bahawa ia mungkin tidaklah begitu ketara, namun orang
Melayu Singapura sehingga kini masih mendapat keistimewaan dalam hal
bayaran pelajaran dan beberapa keistimewaan lain.
Melayu kena berusaha untuk bersaing
Sama ada orang Melayu Singapura benar-benar mendapat keistimewaan itu
bukanlah persoalan utama, tetapi apa yang penting adalah melalui
Perlembagaan itu, sebuah negara yang diperintah oleh pemerintah majoriti
kaum Tionghua masih mengiktiraf orang Melayu sebagai penduduk asal
negara berkenaan. Untuk itu, dokumen perundangan tertinggi negara itu
memperuntukkan bahawa keistimewaan kepada penduduk asal hendaklah
dikekalkan.
Bagaimanapun, masa depan orang Melayu Singapura
sama juga dengan orang Melayu di Malaysia, bukan lagi ditentukan oleh
perlindungan Perlembagaan, tetapi lebih utama adalah cara bagaimana
mereka mampu bersaing menjadi individu yang cemerlang dengan bangsa
lain.
Segmentasi bangsa masih diperlukan dalam negara kita bagi
menentukan status maju mundurnya ekonomi, sosial dan pendidikan warga
negaranya. Semua orang yang menerima hidayah Allah boleh memeluk agama
Islam, tetapi tidak ada orang yang boleh menjadi Melayu atau Cina atau
kaum apa sekalipun. Kita memang ditakdirkan untuk lahir sebagai seorang
Melayu.
Pengakuan sesuatu bangsa itu sepatutnya tidaklah
menjadi halangan untuk kita saling mengenali dan berbaik-baik sesama
kaum. Tidak dapat dinafikan bahawa sebagai sebuah negara merdeka,
kerajaan perlu mengambil berat agenda pembangunan semua kaum yang ada
dalam negara kita.
Pada masa sama, potensi yang ada pada
setiap warga negara perlu terus diasah tanpa membezakan warna kulit bagi
memastikan potensi yang ada dapat membantu menaikkan martabat negara
kita. Begitupun, ini bukan pula bermakna bahawa peruntukan yang
menjadi teras dalam Perlembagaan Persekutuan tidak lagi penting.
Masalahnya, ialah apabila ada segelintir rakyat yang menjuarai hak
sama rata dengan semua kaum sedangkan peruntukan yang khusus berkaitan
Melayu dan status Agama Islam seolah-olah dikesampingkan pula. Masanya
sudah tiba untuk kita lebih menitikberatkan pemahaman setiap warga
negara akan teras pembinaan negara ini.
2013 akan melabuhkan
tirainya, manakala 2014 akan menjelma dengan harapan orang Melayu akan
bangkit daripada kealpaan lalu bingkas memperkukuhkan penyatuan dalam
talian agama Islam tanpa mengira fahaman politik bagi menjadi tiang seri
negara ini.
Penulis ialah peguambela dan peguamcara