Saturday, November 9, 2013

Jom Baca..:)



HILANGNYA AMANAH, BINASALAH DAULAH
 
 
 

Amanah sebagaimana yang di definisikan oleh
 Syeikh Ibrahim al-Baijuri dalam kitabnya : 
 
 
 

“Satu kekuatan yang ada dalam 
spiritual seseorang individu manusia untuk 
menghalangnya daripada melakukan
 sesuatu kejahatan”.
 
 
 

Islam datang dengan membawa rahmat dan kasih sayang kepada seluruh makhluk. Intipati ajaran Islam yang meliputi segenap perkara bermotif untuk menjadikan manusia seorang manusia yang sedar dan memahami penciptaannya. Seluruh aspek perjalanan hidup seorang manusia di dunia mempunyai tanggungjawab. Setiap tanggungjawab tersebut berkaitan dengan hak Allah dan hak sesama makhluk.
 
 
 

Oleh itu, sifat amanah merupakan satu elemen penting yang perlu ada dalam diri setiap individu muslim agar setiap amanah dapat ditunai sebaiknya. Amanah tersebut tidak boleh dipandang remeh dan diambil mudah. Setiap amanah merupakan satu kewajipan agama yang telah dipikulkan kepada setiap manusia.
 
 

Firman Allah taala : 



Sesungguhnya Kami (Allah) telah 
menawarkan amanah kepada langit, bumi dan
 gunung-gunang, tetapi semuanya enggan
 untuk memikul amanat itu dan mereka khuatir
 tidak akan melaksanakannya, lalu dipikullah 
amanah tersebut oleh manusia”. 
 
  (Surah al-Ahzab : 72).
 
 
 

AMANAH ADALAH TANGGUNGJAWAB PALING BESAR
 
 
 
 

Setiap umat Islam perlu sedar dan faham, amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka merupakan kefardhuan syara’ yang perlu ditunaikan. Benar dalam kepercayaan kepada Allah, Ikhlas dalam ibadah, menunaikan ketaatan, menjauhi kejahatan, menjaga adab beragama, memperbaiki akhlak, menyucikan diri daripada sifat keji dan lain-lain merupakan satu amanah.
 
 
 

Namun kita dapati sekarang, ada dikalangan mereka yang menganggap amanah ini hanya dalam skop “menjaga barang-barang simpanan dengan baik” semata-mata. Sedangkana amanah sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam merupakan satu cerminan yang jauh lebih luas gambarannya.
 
 
 

Syeikh Muhammad Ghazali ada menyebut :
 
 
 
 “Amanah pada cerminan Islam merupakan
 skop yang amat luas. 
Ia membawa kepada pelbagai simbolik 
dan keadaan sebagaimana yang
 dijelaskan keumuman amanah dalam 
satu hadis Rasululullah s.a.w. : 
 
 
 

‘Setiap kamu adalah penjaga dan 
bertanggungjawab terhadap setiap jagaannya.
 Seorang pemimpin merupakan penjaga dan
 bertanggungjawab terhadap rakyatnya. 
Seorang lelaki merupakan penjaga dan
 bertanggungjawab menjaga keluarganya.
 Seorang wanita merupakan penjaga 
di rumah milik suaminya dan
 bertanggungjawab menjaganya.
 Seorang hamba/pekerja merupakan
 penjaga kepada harta majikannya dan
 dia bertanggungjawab menjaganya’”. 
 
 
 
 (Hadis Riwayat Imam Bukhari)
 
 
 
 

Bahkan amanah adalah sepenting-penting perkara yang perlu dijaga oleh setiap individu muslim sehingga di umpamakan oleh Baginda Rasulullah s.a.w. :
 
 
 
 
 “Tiada iman terhadap mereka 
yang mengabaikan amanah baginya. 
Tiada agama terhadap mereka yang tidak
 melaksanakan janjinya”. 
 
 
(Hadis Riwayat Imam Ahmad)
 
 
 


RASULULLAH S.A.W. SEORANG PEMIMPIN NEGARA YANG PALING AMANAH
 
 
 

Bahkan Rasulullah s.a.w. ketika sebelum dilantik oleh Allah menjadi Rasul, baginda telah dikenali dikalngan masyarakat Arab Jahiliyyah ketika itu dengan panggilan “Al-Amin” (seorang yang menunaikan amanah). Dalam kontek kepimpinan negara, Baginda s.a.w. merupakan seorang yang paling amnanah. 
 

Antara beberapa ciri-ciri asas yang ada pada pemerintahan baginda Rasulullah s.a.w. sebagaimana yang dinyatakan oleh Syeikh Fauzi Fadhil al-Zafzaf (Anggota Penyelidikan Islam Mesir) :
 

1. Memberikan komitmen yang penuh dalam setiap pelaksanaan sebuah negara Islam 2. Menggariskan undang-undang dalam sesebuah negara selari dengan syarat yang dikehendaki Islam.

3. Memelihara kepentingan umum/rakyat dalam melantik mana-mana individu dikalangan sahabatnya bagi menjalankan tugas kementerian, gabenor wilayah dan lain-lain dalam urusan pentadbiran negara.

4. Mengelak dan mencegah dalam pentadbiran sikap mengikut kehendak diri dan mendapatkan kepentingan duniawi.

5. Mencegah daripada pelaksanaan sistem anarki (melantik daripada kaum kerabat) dalam pemerintahan .

6. Mewujudkan rundingan damai dan sikap bertolak ansur dalam setiap tahaluf siasi (persepakatan politik) yang dilaksanakan walaupun dengan non-muslim.

7. Menutup sebarang pintu rasuah dan penyelewengan dalam pentadbiran dan pengurusan negara.

8. Mengelak daripada melakukan pemerintahan secara autokrasi dan diktator (pemerintahan kuku besi)
 
 
 
 


PERINGATAN DAN TEGURAN RASULULLAH S.A.W. DALAM KEPIMPINAN NEGARA
 
 
 
 

Dalam pentadbiran sebuah Negara Islam yang diaplikasikan oleh Rasulullah s.a.w. baginda selalu mengingatkan para sahabatnya agar sentiasa menjaga amanah. Setiap amanah yang diberi akan dipersoalkan di hadapan Allah taala kelak.
 
 
 

Daripada Abu Zar r.a. telah berkata :
 
 
 “Aku bertanya :
 ‘Wahai Rasulullah! 
Apakah tiada apa yang aku boleh lakukan 
(dalam urusan pentadbiran)?’
 Baginda Rasulullah langsung meletakkan
 tangannya atas bahuku,
 lalu baginda bersabda :  
‘Wahai Abu Zar! 
Kamu sebenarnya tidak upaya 
sedangkan ini adalah amanah. 
Amanah ini akan pada hari akhirat kelak 
merupakan satu kejelekan dan penyesalan 
kecuali mereka yang mengambilnya dengan 
berhak serta mereka menunaikan yang 
sepatutnya daripadanya
 (amanah tersebut)’”.
 
 
  (Hadis Riwayat Imam Muslim)
 
 
 

Begitulah hadis yang telah direkodkan tentang permintaan Abu  Zar untuk diberinya amanah bagi menjalankan kepimpinan pentadbiran negara. Namun Rasulullah menolaknya kerana memandang beliau tidak mampu untuk menyandang kepimpinan tersebut kerana kebolehannya bukan dalam bidang pemerintahan, walaupun semangat beliau yang berkobar-kobar untuk melihat Islam dapat ditegakkan dengan baik.
 
 
 

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda : 
 
 
 
“Sesiapa yang memanipulasikan seseorang lelaki 
daripada kerabatnya (dalam memilih kepimpinan) 
sedangkan dikalangan mereka ada yang lebih baik 
disisi Allah, maka dia telah mengkhianati Allah, 
Rasulnya dan seluruh orang mukmin”. 
 
 
 (Hadis Riwayat Imam Hakim)
 
 
 
 

Umat dan masyarakat yang tidak amanah adalah mereka yang melantik dan memilih mana-mana  individu, kumpulan dan parti yang tidak selayaknya menunaikan amanah tersebut. Apabila diberikan kepada mereka tanggungjawab menjalankan amanah dalam kepimpinan negara lalu diambil kesempatan untuk mencari kepentingan dan kelebihan duniawi. Mereka akan terpedaya dengan kedudukan tersebut dan pengabaian amanah akan berlaku. 
 
 
 

Benarlah firman Allah taala :
 
 
 “Telah jelas kerosakan
 yang berlaku di daratan
 dan lautan disebabkan
 perbuatan tangan manusia”. 
 
(Surah al-Rum : 41)
 
 
 
 

Bahkan, Rasulullah s.a.w. bersabda
 sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah : 
 
 
 
 
 
“Datang seorang lelaki kepada baginda
 ketika mana Nabi s.a.w. dalam satu majlis 
bersama sahabat-sahabatnya lalu bertanya : 
‘Bilakah akan berlakunya kiamat?’ 
Baginda menjawab :
 ‘Apabila diabaikan amanah maka 
akan berlakulah kiamat’. 
Lelaki itu bertanya lagi: 
‘Bagaimana pengabaian itu berlaku?’. 
Rasulullah menjawab :
 ‘Apabila melantik seorang pemimpin 
yang bukan ahlinya
 (mempunyai ciri-ciri kepimpinan Islam) 
maka tunggulah kiamat’”.
 
 
 (Hadis Riwayat Imam Bukhari)




KESIMPULAN
 
 
 
 
Khianat besar dalam institusi dan pentadbiran negara adalah dengan melantik seorang individu yang tidak mempu menjalankan amanah kepimpinan tersebut. Urusan rakyat diabai menyebabkan pelbagai kerosakan dan jenayah dalam negara akan dapat disaksikan. 
 
 
 
Jenayah berat dalam masyarakat, masalah sosial kalangan muda-mudi, rasuah dalam pengurusan kenegaraan, keruntuhan rumahtangga, eksploitasi dalam ekonomi, hiburan tanpa batasan, kemurtadan berleluasa dan lain-lain.
 
 
 

Konklusinya, individu yang dilantik dalam menerajui pentadbiran dan pembangunan negara mestilah menyedari, intipati daripada kepimpinan yang ditanggungjawabkan itu adalah sebagai khalifah Allah di permukaan bumi.




Imam al-Mawardi memberi definisi tentang maksud khalifah iaitu :
 
 
 “Mereka yang menjalankan khilafah selepas
 Rasulullah untuk menjaga survival agama dan
 mengurus-atur pentadbiran dunia
 dengan sistem agama.”
 
 
 

Khalifah disisi Allah adalah dikalangan mereka yang bersungguh-sungguh memperjuangkan kelangsungan Islam dan bertanggungjawab menunaikan amanah untuk menegakkan agama Allah taala.
 
 
 

Sabda Nabi s.a.w. :
 
 
 
 “Seorang pekerja
 (dalam apa-apa jawatan sekalipun), 
apabila dia bekerja, maka diambilnya hak 
dan akan memberikan tanggungjawab 
terhadap hak tersebut berterusan sebagaimana 
seorang mujahid pada jalan Allah 
sehinggalah mereka pulang kembali ke rumahnya”. 
 
 
 (Hadis Riwayat Imam Tabrani)
 
 
 

"Membentuk Dengan Acuan Al-Azhar"

"Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan"





Disediakan oleh : Muhammad Zuhairi bin Zainal Abidin Felo MANHAL PMRAM
 
 
 
 
 
 
 

No comments:

Post a Comment