Monday, February 17, 2014

Mewujudkan budaya kerja yang produktif


http://akhawat31.files.wordpress.com/2013/09/tumblr_m5bnqgddyv1r02o8fo1_500.jpg

Mewujudkan budaya kerja

 yang produktif



TIDAK kira jenis bisnes, antara faktor yang menentukan kejayaan adalah pekerja yang tekun, produktif dan boleh dipercayai. Pekerja sebagai modal insan sesuatu syarikat merupakan faktor yang menentukan sama ada syarikat meraih keuntungan yang tinggi atau sebaliknya, apa pun jenis produk atau perkhidmatan yang dihasilkan. Produktiviti firma terjamin sekiranya tenaga kerja memberi tumpuan penuh kepada tugas. Dalam bahasa Inggeris ini dikatakan engaged.









Pembangunan kakitangan yang produktif melibatkan satu faktor bukan kuantitatif, tetapi itulah yang membangkitkan semangat dan kemahuan untuk bekerja bersungguh-sungguh. Pekerja yang tidak mempunyai semangat ini tidak akan merasa sayang atau komited terhadap pekerjaan dan organisasi. Jika firma tidak berusaha membangunkan semangat ketekunan dan komitmen ini, tahap produktiviti dan seterusnya prestasi firma akan terjejas. 









Apakah yang menyebabkan sesetengah organisasi berjaya membina semangat dan tumpuan kerja yang tinggi sedangkan yang lain gagal berbuat demikian? Jawapannya terletak kepada sejauh mana majikan berjaya memenuhi keperluan pekerja seperti pendapatan yang sesuai dengan kelayakan dan kemahiran mereka dan juga perlindungan dan keselamatan kerjaya. Selain itu, pekerja juga mahukan peluang untuk maju dalam kerjaya dan jasa serta sumbangan mereka diiktiraf. 









Pekerja yang produktif perlu merasa selesa bekerja, dilingkungi persekitaran yang menggalakkan. Pekerja perlu yakin bahawa pihak pengurusan prihatin dan senantiasa menjaga kesejahteraan dan perkembangan kerjaya mereka. Sebarang ketidakpuasan mereka diberi perhatian dan diselesaikan secara wajar.








Sebagai contoh, majikan yang mengamalkan sikap penyayang tidak akan terus menghukum seseorang pekerja yang melakukan sesuatu kesilapan. Kesilapan perlu dilihat sebagai satu peluang pembelajaran kendiri ke arah produktiviti yang lebih tinggi. 








Apa yang harus dilakukan ialah memberi teguran dan meminta pekerja supaya tidak mengulangi kesilapan tersebut. Dengan tindakan seperti ini, pekerja akan komited dan setia kepada majikan yang telah menunjukkan sikap bertolak ansur terhadap mereka. 
Pekerja akan sedar bahawa majikan peka akan kepentingan mereka dan ini akan membangkitkan motivasi intrinsik (dalaman) untuk bekerja dengan baik. 








Usaha bagi menarik minat pekerja untuk memberikan tumpuan penuh kepada tugasan harian harus dilaksanakan secara berterusan. Strategi berterusan untuk mewujudkan budaya kerja yang memberangsangkan akan meningkatkan prestasi pekerja, pencapaian dan penambahbaikan organisasi secara berpanjangan. Budaya seperti ini akan melahirkan pekerja yang senantiasa asyik melakukan tugas yang dipertanggungjawabkan dengan aktif, ceria dan pantas.








Pekerja yang produktif mempunyai integriti dan sikap yang betul terhadap pekerjaan. Pekerja tersebut akan bekerja ke arah kecemerlangan. Mereka tabah dalam menghadapi cabaran dan rintangan dengan sikap positif, tidak sombong atau cepat berpuas hati. Mereka setia kepada organisasi, mengamalkan meritokrasi, dan mahu belajar secara berterusan dan mengikuti perkembangan teknologi supaya tidak menjadi redundan.









Ada beberapa cara untuk membangunkan kumpulan pekerja yang bersifat engaged. Antaranya, pengambilan pekerja yang sesuai. Pengambilan pekerja adalah satu perkara yang amat penting. Pekerja mestilah mempunyai kelayakan, bakat dan sikap yang sesuai bagi organisasi tersebut.








Set kemahiran mereka mestilah memenuhi keperluan bisnes. Selain itu, beberapa insentif yang menarik disediakan oleh majikan, seperti kenaikan pangkat dan gaji, bonus, anugerah, dan sebagainya, supaya ketekunan pekerja kekal sepanjang karier dan tidak pudar setengah jalan. 









Ketekunan pekerja mempunyai kaitan dengan produktiviti atau hasil bisnes. Pekerja akan paling tekun dan komited jika mereka dipertanggungjawabkan dengan penuh kepercayaan dan mereka sendiri boleh memantau dan mengukur hasil prestasi kerja mereka. Justeru, produktiviti pekerja harus diukur secara sistematik dan pekerja sedia maklum akan penilaian ini.
Sistem penilaian produktiviti pekerja harus jelas, konsisten dan dilakukan secara berkala. Prestasi yang dicapai dimaklumkan kepada pekerja oleh pihak pengurusan dari semasa ke semasa. Dengan cara ini, pekerja tahu yang mereka senantiasa diperhatikan dan dipantau. Mereka akan lebih berusaha untuk menunjukkan prestasi yang baik.









Pekerja akan menjadi fokus apabila matlamat pencapaian bisnes berpadanan dengan matlamat pencapaian diri. Bagi tujuan ini, komunikasi yang efisien antara majikan dan pekerja adalah penting. Pekerja harus dibekalkan dengan garis panduan dan semua maklumat tentang pekerjaan yang dijalankannya. Pekerja juga perlu memahami dengan baik semua rutin dan proses-proses kerja supaya pekerja jelas bagaimana usaha dan ketekunan mereka mempengaruhi pencapaian matlamat dan prioriti bisnes firma berkenaan serta output yang dikeluarkan.








Pekerja harus juga disokong dalam menjalankan tugas. Bimbingan dan tunjuk ajar harus mudah untuk diperoleh. Ini akan mengurangkan stres. Penyelia harus dapat membantu jika pekerja mengalami masalah, khususnya teknikal. 








Sekiranya teknologi baharu diperkenalkan, latihan menggunakannya mestilah cukup. Kesulitan yang dihadapi berhubung dengan proses kerja baharu mestilah diberi perhatian yang wajar oleh pihak majikan.
Penyelia pekerja yang terdekat mestilah menggunakan prinsip-prinsip kecerdasan emosi dalam perhubungan dengan pekerja. Penyelia mesti dapat berinteraksi dengan baik, saling menghormati dan memahami pekerja, dan maklum akan tugas dan kekangan pekerja.
Penyelia harus menunjukkan yang mereka benar-benar mengambil berat tentang pekerja, dan mendengar masalah serta bersedia menerima idea dan cadangan mereka. 








Budaya pekerja yang tekun hanya akan terhasil jika pihak pengurusan senantiasa meningkatkan prestasi mereka sendiri dalam memimpin pekerja. Majikan yang menaruh kepercayaan terhadap pekerja akan mendapati bahawa pekerja juga akan menaruh kepercayaan terhadap majikan. 







Pekerja mesti yakin bahawa majikan akan melindungi dan memelihara kepentingan mereka dalam semua aspek. Ini termasuk pakej gaji dan kenaikan pangkat, termasuk juga kebajikan keseluruhan seperti tanggungan kesihatan, kemudahan rekreasi, dll.







Pihak pengurusan hendaklah menghormati semua pekerja dalam organisasi tanpa mengira kedudukan mereka. Idea, pandangan dan usaha sukarela pekerja diakui dan dihargai. Masa lapang dan masa cuti pekerja dan komitmen terhadap keluarga dihormati. Dengan keprihatinan seperti ini, pekerja akan sanggup melakukan kerja lebih daripada apa yang dipertanggungjawabkan kepada mereka dengan disertakan bersama nilai tambah masing-masing untuk kebaikan firma. 




PENULIS adalah 

Ketua Pengarah

 Perbadanan Produktiviti 

Malaysia



 

No comments:

Post a Comment