Friday, March 1, 2013

Autisme


Autisme

 

 http://www.wsnstilburg.nl/CMS/images/autisme.jpg


SEMAKIN ramai ibu bapa di Malaysia mempunyai anak yang disahkan mempunyai masalah autisme.



Hampir setiap hari pasti ada yang membawa anak bermasalah autisme ke Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah bagi mendapatkan rawatan.



Menurut Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM), setiap seorang daripada 150 kanak-kanak yang dilahirkan di seluruh dunia memiliki autisme dan dianggarkan 47,000 orang kanak-kanak di Malaysia menghidapnya.



Ada antara mereka memiliki tanda-tanda masalah autisme kronik dan ada yang baru sahaja di peringkat awal.



Umur anak-anak tersebut turut berbeza; 
dari berumur 6 bulan hingga lewat 20-an.



Kadangkala, bukan sahaja pesakit autisme mendapatkan rawatan bahkan ibu bapa dan ahli keluarga mereka juga ekoran tekanan yang kuat gara-gara menjaga pesakit tersebut.
Sifat sabar ibu bapa dan ahli keluarga amat dituntut dalam memberi penjagaan terbaik buat pesakit autisme.



Ingatlah bahawasanya Allah SWT sentiasa bersama mereka yang sabar. 



Firman Allah dalam 
surah Al-Baqarah ayat 153:



"Wahai orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan dengan sabar dan solat, sesungguhnya Allah bersama-sama orang yang sabar."



Pengenalan & ciri-ciri umum


 Autisme adalah satu bentuk

 kecacatan atau masalah kurang upaya

 sistem perkembangan saraf otak dan minda 

yang boleh berlaku seawal usia

 6 bulan dan satu sindrom ketidakupayaan

 yang boleh kekal sepanjang hayat

 jika tidak dirawat.



Penyakit autisme mengakibatkan fungsi memproses maklumat di dalam otak seseorang terjejas. Pesakit menunjukkan tiga jenis ketidakupayaan umum iaitu:



Masalah tidak mampu bersosial



Ini simptom utama penyakit autisme. Pesakit tidak tahu bergaul dengan orang sekeliling secara normal. Mereka selalunya tidak mempunyai sifat empati terhadap orang lain.Mereka tidak mengendahkan orang lain dan seperti termenung seorang diri.




Ada pesakit yang menunjukkan sikap tidak sepatutnya di depan orang ramai seperti menjerit sekuat hati atau membaling barang ke arah orang sekeliling. Malah, pesakit autisme lebih gemar menyendiri dan bermain seorang diri walaupun dikelilingi oleh rakan sebaya yang sedang bermain.



Kesukaran berkomunikasi 
secara berkesan dengan insan lain



Mereka selalunya lambat bercakap dan apabila cuba untuk berkomunikasi dengan orang lain, orang lain sukar memahami apa yang mereka cuba sampaikan.



Mereka kadangkala bercakap dalam nada pelik seperti menyanyi. Malah, ada di antara pesakit autisme lebih gemar menggunakan bahasa isyarat tangan untuk menyampaikan hasrat di hati kepada ibu bapa.



Masalah tingkah laku dan pemikiran



Ada di antara mereka yang gemar melakukan satu-satu perkara berulang kali
 (compulsive behaviour).



Ada juga yang mempunyai minat pelik dan berlaku agresif sekiranya ada sesiapa cuba menghalang minat tersebut.



Sebagai contoh, ada pesakit kami yang hobinya membawa ranting pokok ke mana dia pergi dan akan memarahi sesiapa sahaja yang cuba mengambil ranting tersebut dari tangannya.



Tanda-tanda penyakit ini selalunya muncul secara beransur-ansur dan terus bertambah kronik (jikalau tidak mendapatkan sebarang rawatan) sehingga ke umur dewasa.



Punca-punca 


Masalah autisme berlaku 

tanpa mengira kira bangsa, 

latar belakang pendidikan, kedudukan

 status sosial ekonomi dan gaya hidup.



Sehingga hari ini, dunia perubatan moden masih belum dapat mengesan secara pasti punca sebenar penyakit ini. Mengikut perubatan moden, pengaruh genetik boleh meningkatkan risiko seseorang mendapat anak autisme.



Selain itu, sangat penting buat semua ibu bapa yang mempunyai anak autisme untuk memahami bahawa penyakit tersebut tidak berpunca daripada asuhan atau penjagaan yang tidak baik semasa anak masih bayi.



Dalam pengalaman kami di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah merawat anak-anak autisme, terdapat kes melibatkan elemen gangguan makhluk halus terutamanya saka yang menyebabkan masalah autisme.



Gangguan saka selalunya diwarisi melalui keturunan keluarga terdahulu di mana makhluk halus ini merosakkan saraf dan minda pesakit menyebabkan berlakunya autisme.



Sukar untuk perubatan moden membuktikan wujudnya pengaruh makhluk halus dalam anak-anak autisme ini tetapi sudah ramai pesakit menunjukkan perubahan positif selepas makhluk halus ini dikeluarkan daripada tubuh badan mereka.


Tanda-tanda awal autisme 




Antara tanda awal 

masalah autisme yang boleh

 berlaku seperti;

- Anak yang tidak mengeluarkan sebarang perkataan yang boleh difahami sehingga umur 16 bulan.

-Tidak menunjukkan minat untuk bermain atau berinteraksi dengan kanak-kanak lain.

-Tidak menggunakan jari telunjuk untuk menunjuk sebarang objek.

- Gagal memberi respons apabila nama dipanggil.

- Suka menyendiri.

- Suka menyusun objek mengikut susunan tersendiri.


Senarai di atas hanyalah sebahagian daripada tanda awal masalah autisme dan sebarang diagnosis akhir haruslah dirujuk kepada pakar perubatan kanak-kanak.



Rawatan moden 




Rawatan untuk penyakit autisme

 pada masa kini melibatkan 

banyak aspek terutamanya dari segi

 pendidikan khas sejak usia awal.



Objektif utama rawatan adalah untuk mengurangkan tekanan dalam keluarga, meningkatkan kualiti hidup pesakit dan melatih pesakit agar mampu berdikari dalam hampir semua aspek kehidupan.



Buat masa ini, tiada rawatan tunggal yang mampu merawat autisme. Selalunya beberapa jenis rawatan perlu diolah mengikut keperluan setiap kanak-kanak autisme.



Contoh rawatan yang selalu diguna pakai adalah senaman fisioterapi, terapi kognitif dan sikap, terapi pertuturan dan kaunseling keluarga.



Ahli keluarga terutama ibu bapa selalunya diberi kaunseling dan latihan dalam menghadapi kerenah anak autisme.



Selain itu, guru yang terlatih dalam bidang Pendidikan Khas turut memainkan peranan penting memastikan kanak-kanak autisme mendapat pendidikan mengikut cara sesuai dengan keperluan masalah mereka.



Di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, 
keluarga pesakit autisme akan diberi ayat-ayat berikut untuk diamalkan, disertai doa untuk memohon penyembuhan.



Ayat-ayat tersebut adalah:


1. Surah Az-Zumar ayat 24 hingga 37

2. Surah Al-Hijr ayat 66 hingga 99

3. Surah Yaasin ayat 43 hingga 58

4. Surah Al-Hajj ayat 40 hingga 55

5. Surah Al-Hajj ayat 73 hingga 78



Cara mengamalkan ayat al-Quran tersebut ialah keluarga pesakit hendaklah membaca surah pertama iaitu surah Az-Zumar tiga kali pada malam dan surah kedua iaitu surah Al-Hijr tiga kali waktu siang.



Amalkan setiap hari selama tiga hingga empat minggu. Selepas membaca tiga kali, keluarga pesakit perlu berdoa kepada Allah untuk penyembuhan. Selepas membaca dua surah pertama tadi, keluarga pesakit hendaklah mengulang dengan surah berikutnya.


Penutup 


Ibu bapa yang mempunyai

 anak autisme, jangan 

berputus asa  berikhtiar untuk 

merawat anak masing-masing.


Jangan anggap anak autisme tidak dapat ditolong lalu hanya berserah kepada takdir. Yakinlah bahawa pertolongan pasti akan datang bagi mereka yang mencarinya.


Hasil pengalaman kami merawat anak autisme, ada yang menunjukkan perubahan positif dari segi sikap, kecekapan, pertuturan dan 


keupayaan untuk berdikari.
Yang penting, kita haruslah yakin bahawa segala sesuatu yang berlaku hanya boleh berlaku dengan izin Allah.


Kita harus reda akan ketentuan Ilahi. Maka, jika ada masanya kita merasakan sudah tidak dapat lagi bertahan dan perasaan putus asa mula menguasai, cepat-cepatlah kita ingat bahawa apa yang berlaku adalah ujian daripada Allah SWT. 



No comments:

Post a Comment