Thursday, May 30, 2013

Perkasa rohani generasi muda

Perkasa rohani generasi muda



 
Tanpa ilmu dan bimbingan, mustahil generasi muda mampu menerajui diri untuk menjadi insan terbilang yang bukan saja dibanggakan kerana kebijaksanaan serta kecerdasan akalnya, tetapi juga sahsiah mulia selain fizikal yang kuat. 



Lebih-lebih lagi cabaran hari ini tidak setara dengan kesediaan ibu bapa dan pendidik untuk menghadapi segala kemungkinan yang mendatang hingga ada kalanya kita kelihatan lesu mencari punca, tetapi masalah semakin meruncing serta tidak terbendung. 



Generasi muda yang dipandang hebat ialah yang perkasa fizikal dan minda, juga yang urusannya dengan Allah, manusia serta alam dijalankan dengan penuh tanggungjawab. Lebih-lebih lagi, golongan bertuah yang memahami kepentingan ilmu hingga sanggup membawa buku ke mana saja. 




Mereka inilah yang akan meneruskan legasi dakwah kepada umat Islam seluruh dunia supaya setiap warga Muslim hidup dalam landasan agama sebenar. 



Syarat jadi orang hebat 



Syarat generasi muda masa kini untuk menjadi seorang yang hebat ialah mereka mesti berilmu dan mempunyai hikmah dalam tindak tanduknya. Mereka perlu adil, iaitu amanah melaksanakan tanggungjawab kepada Allah serta manusia dan alam. Jika tidak amanah, mereka tidak ragu-ragu untuk berdusta dan memusnahkan hak orang lain. 



Mereka juga mesti berani kerana mereka tidak akan berjaya jika tidak memulakan sesuatu tanpa gerun atau sanggup gagal. Apabila berjaya, tentulah mereka akan memulakan langkah pertama untuk mencipta kejayaan lain. 



Ini akan menjadi ikutan kepada generasi muda lain yang sentiasa memerlukan qudwah hasanah dalam kalangan mereka. Tanpa keberanian, orang muda tidak akan mempunyai cita-cita, sedangkan impian dalam hidup adalah angan-angan yang memungkinkan kejayaan lebih besar. 



Cita-cita boleh ubah kehidupan 



Cita-cita boleh merubah kehidupan serta menjadikan seseorang itu berjasa kepada agama dan negara. Tetapi cita-cita memerlukan hasrat, tekad tidak terhingga, azam dan sokongan berterusan. 


Orang muda boleh berjaya apabila yakin dengan kuasa Allah SWT yang Pengasih serta Pemurah. 


Namun, segelintir generasi muda hari ini sudah menjadi seperti beban kepada agama dan negara. Mereka tidak mempedulikan ilmu, menjauhi suruhan agama dan mempersendakan hukum yang mengikat mereka sebagai Muslim. 


Entah di mana silapnya, orang muda bencikan cara hidup islami, hidup melangkaui akhlak dan sahsiah, malah mempercayai amalan tahyul yang begitu mudah meresapi minda mereka. 



Sukar lagi mencari golongan muda yang bersusah payah menelan keperitan hidup semata-mata untuk menuntut ilmu dan mengamalkan akhlak mulia sekali gus merubah kehidupan keluarga supaya mengikut acuan agama.



Setiap pelajar akan dibantu dan dipastikan berjaya jika mereka mahu. Malangnya, mereka lebih senang pertaruhkan kehidupan sosial di luar batasan hukum, terkinja-kinja di pentas nyanyian dan sanggup melondeh pakaian dalam adegan lakonan untuk merubah sebuah kehidupan. 


Ibu bapa yang mempunyai anak remaja seharusnya sentiasa belajar, mempertingkatkan komitmen dan tanggungjawab membimbing anak mengikut ajaran agama. Dosa dan pahala harus menjadi zikir yang basah di bibir mereka supaya anak sentiasa diingatkan batasan dalam tindak tanduk. 


Bukan semua orang muda tidak tahu masa depan generasi akan datang bergantung kepada urusan dunia yang mereka tangani hari ini. Bukan semua jahil bahawa masa muda hanyalah sekejap saja dan masa pantas berlalu.



Orang muda elak terpesong 


Mereka harus berjaga-jaga, jangan sampai waktu muda merosakkan seluruh usia kehidupan. Tetapi ramai juga yang terpesong kerana orang muda tidak ‘dipaksa’ menjadi diri mereka yang selayaknya. 


Justeru, orang muda perlulah mengatur langkah lebih gagah, usah peduli rasa rendah diri yang membantutkan usaha memajukan agama, bangsa dan negara. Mereka perlu setia kepada pemimpin yang tidak menyuruh melakukan maksiat, apalagi ibu bapa yang setia bersama sepanjang hayat. 



Perlu diingat, generasi akan datang pasti muncul bersama ‘zaman mudanya’ yang dicorakkan sendiri. Alangkah gerunnya andai mereka lebih dahsyat daripada generasi muda hari ini. Oleh itu, memperkasa rohani generasi muda perlu menjadi agenda wajib negara. 



Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia. 

No comments:

Post a Comment