Friday, April 19, 2013

IKRAR SEORANG YB





IKRAR SEORANG YB

Dalam ruang pentas dunia
Dia begitu kerdil di antara semuanya
Berasak-asak..bersorak-sorai
Pekik gempita tanda sokongan
Yang begitu dalam terhadap
Suara insan yang berdiri megah
Sambil melontar kata-kata hikmah
“kita pasti berjaya…kalau kita sepakat”
“kita pasti berjaya…kalau kita muafakat”
“hidup saya adalah untuk rakyat!”

Dengan berbaju lompang lusuh
dia mencari denai harapan
agar dapat melihat insan bersuara
insan yang berbakti dan
memperjuangkan hak rakyat
yang telah memberikan ruang untuknya
belajar sebaris dan sebangku
dengan rakan-rakan lain
menghulurkan semangat kepada
anak-anak bangsa agar terus menggapai
azam dan impian yang terpendam.

Dia berkata pada diri sendiri
“Inikah insan yang bersuara?
Insan yang memberikannya impian
Daripada tanah kontang tiada apa-apa
Menjadi bangunan kedai
Dan sekolah untuk anak-anak
Bukan untuk diri sendiri
Tetapi untuk anak-anak generasi.

Dia berkata lagi
“Aku ingin menjadi sepertinya”
korban masa dan jiwa yang ikhlas
bukan untuk mendapat pujian semata
tetapi berkhidmat dan mengota janji
pada ikrar taat setia pada ibunda
untuk melihat masa depan rakyat
cemerlang, gemilang dan terbilang!

Itu semua angan dan impian dulu
Kerana kini dia juga berpijak
Berdiri megah di mata rakyat
Bukan mendabik dada dia berjaya
Bukan tinggi diri kerana sudah bergelar YB
Tetapi sama-sama turun padang
Merealisasikan berjuta-juta mimpi
Bukan sekadar omong kosong
Tetapi menghulur semangat
Dan berkerjasama sebagai pemimpin
Kerana dia juga sedar
Dia juga pernah dipimpin
Dan inilah masanya
Ikrarnya menjadi nyata.

Saat ini dia tersenyum bangga
Masyarakat adalah sahabat
Saling mempercayai
Saling menyayangi.

Dalam kalut sempat dia berpaling
Ada anak kecil berbaju lusuh
Duduk betul-betul di hadapannya
Comot berbaju sampang lusuh
Tiba-tiba hati kecilnya berkata
“dia adalah aku..seperti dulu-dulu”
lantas mendekati tiada jijik
menghulur segenggam impian
cerita impian yang sama
“Anak…suatu hari nanti
kau juga akan memegang ikrar
seorang YB untuk bangsamu.”


RADIN.A.AHMAD / SRI ANORA
2006

No comments:

Post a Comment