Sunday, April 21, 2013

Surah 72, Surah al-Jinn (Kisah Jin) : 28 ayat.


Surah 72, Surah al-Jinn (Kisah Jin) : 28 ayat

 
Bismillahi al-Rahman al-Rahim 
(Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah
 lagi Maha Mengasihani). 

 
72-1:  Katakanlah: "Telah diwahyukan kepadaku bahawa sekumpulan jin telah mendengarkan, lalu mereka berkata: Sesungguhnya kami telah mendengarkan al-Qur’an yang menakjubkan.” 



72-2:  “Memberi petunjuk kepada jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya. Dan kami tidak akan mempersekutukan seorang pun dengan Rab (Tuhan) kami.” 



72-3:  “Dan bahawasanya Ta’ala (Maha Tinggi) kebesaran Rab (Tuhan) kami, Dia (Allah) tidak beristeri dan tidak (pula) beranak” 



72-4:  “Dan bahawa orang yang bebal daripada kami mengatakan yang melampaui batas terhadap Allah.” 



72-5:  “Dan sesungguhnya kami mengira, bahawa manusia dan jin tidak akan mengatakan perkataan yang dusta terhadap Allah.” 



72-6:  “Dan bahawa ada beberapa orang laki-laki antara manusia meminta perlindungan kepada beberapa laki-laki antara jin, maka mereka (manusia) menjadikan mereka (jin) itu bertambah sombong. 


 
72-7:  Dan sesungguhnya mereka (jin-jin) menyangka sebagaimana sangkaan kamu, bahawa Allah tidak akan membangkitkan seorang (rasul) pun. 


72-8:  Dan sesungguhnya kami (jin) telah menyentuh (mengintip) langit itu, maka kami mendapatinya penuh dengan penjagaan yang kuat dan panah-panah api. 



72-9:  Dan sesungguhnya kami (dahulu) dapat menduduki beberapa tempat padanya (di langit) untuk mendengar-dengarkan. Tetapi sekarang sesiapa yang mendengar-dengarkan, tentu akan menjumpai panah api yang mengintai. 



72-10:  Dan sesungguhnya kami tidak mengetahui apakah keburukan yang dikehendaki bagi orang yang di bumi atau Rab (Tuhan) mereka menghendaki kebaikan bagi mereka.  



72-11:  Dan sesungguhnya antara kami ada orang yang salih dan antara kami ada yang tidak demikian halnya. Adalah kami menempuh jalan yang berbeza-beza. 



72-12:  Dan sesungguhnya kami mengetahui, bahawa kami tidak dapat melepaskan diri dari Allah di bumi dan tidak kami melepaskan diri dengan lari. 



72-13:  Dan sesungguhnya tatkala kami mendengar petunjuk, maka kami beriman kepadanya. Sesiapa beriman kepada Rab (Tuhan)nya, maka dia tidak takut akan kerugian dan tidak akan penganiayaan.


 
72-14:  Dan sesungguhnya antara kami ada yang Muslimin (yang berserah diri), dan ada (pula) yang menyimpang dari kebenaran. Sesiapa yang aslam (berserah diri), maka mereka itulah yang telah memilih jalan yang lurus. 


72-15:  Adapun orang yang menyimpang, maka mereka menjadi kayu api neraka Jahanam. 



72-16:  Dan sesungguhnya jika mereka tetap lurus di atas jalan itu, tentulah Kami (Allah) akan memberi minum kepada mereka air yang segar. 



72-17:  Untuk Kami (Allah) mengujikan mereka padanya. Dan sesiapa yang berpaling daripada peringatan Rab (Tuhan)nya, nescaya akan dimasukkan ke dalam azab yang amat berat. 



72-18:  Dan sesungguhnya masjid-masjid itu adalah kepunyaan Allah. Maka janganlah kamu mengabdikan diri kepada sesuatu di samping Allah.



72-19:  Dan sesungguhnya tatkala hamba Allah itu berdiri beribadah kepada-Nya (kepada Allah), hampir sahaja mereka (jin-jin) itu desak mendesak mengerumuninya.

72-20:  Katakanlah: "Sesungguhnya aku hanya menyeru Rab (Tuhan)ku dan aku tidak mempersekutukan sesuatu pun dengan-Nya (dengan Allah).” 


72-21:  Katakanlah: "Sesungguhnya aku tidak berkuasa mendatangkan sesuatu kemudaratan kepada kamu dan tidak sesuatu kemanfaatan.” 



72-22:  Katakanlah: "Sesungguhnya aku ini, tiada seorang pun yang dapat melindungiku daripada Allah dan tidaklah aku akan memperolehi selain Dia (Allah) tempat berlindung.” 



72-23:  “Kecuali hanya menyampaikan daripada Allah dan risalah-Nya (risalah atau amanah Allah). Dan sesiapa yang menderhakai Allah dan rasul-Nya maka sesungguhnya baginya Neraka Jahanam, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. 



72-24:  Sehingga apabila mereka melihat azab yang diancamkan kepada mereka, maka mereka akan mengetahui siapakah yang lebih lemah penolongnya dan lebih sedikit bilangannya. 



72-25:  Katakanlah: "Aku tidak mengetahui, apakah yang diancamkan kepada kamu itu dekat atau Rab (Tuhan)ku menjadikannya masa yang panjang lagi?” 



72-26:  Al-‘Alim (Yang Maha Mengetahui) yang ghaib, maka Dia (Allah) tidak memperlihatkan kepada seorang pun tentang yang ghaib itu. 



72-27:  Kecuali sesiapa yang Dia (Allah) redai daripada rasul, maka sesungguhnya Dia (Allah) mengadakan di hadapannya dan di belakangnya penjaga-penjaga.
 


72-28:  Supaya Dia mengetahui, bahawa sesungguhnya mereka (para rasul itu) telah menyampaikan risalah-risalah Rab (Tuhan) mereka, sedang Dia (Allah) meliputi apa yang ada pada mereka, dan Dia (Allah) menghitung segala sesuatu satu persatu.

 

No comments:

Post a Comment