Saturday, June 1, 2013

Melayu lestarikan bahasa Melayu


Melayu lestarikan bahasa Melayu

BERBINCANG mengenai bahasa Melayu, kita tidak terlepas daripada menyentuh hal Perkara 152 Ceraian (1) dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Peruntukan ini menegaskan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu, di samping menyatakan bahawa bahasa lain tidak dilarang daripada diajarkan, dipelajari, dipelihara dan digunakan, untuk selain maksud rasmi.



Hal ini bermakna bahawa bahasa Melayu wajib digunakan dalam acara rasmi sahaja. Maksud "rasmi" mengikut Ceraian (6) adalah untuk maksud kerajaan pusat, kerajaan negeri, dan termasuk juga pihak berkuasa awam.



Kedua-dua ceraian itu dapat menjelaskan bahawa bahasa Melayu wajib digunakan pegawai agensi, jabatan dan badan kerajaan ketika melaksanakan sebarang urusan rasmi. Kemestian itu juga terpakai apabila pegawai berkenaan berurusan dengan agensi, jabatan dan badan kerajaan lain, malahan sepatutnya termasuk ketika melaksanakan urusan dengan sektor swasta juga. 



Bahasa ialah media perhubungan yang diturunkan oleh Maha Pencipta. Bahasa diturunkan dengan kerangka yang berbeza daripada penurunan agama wahyu. Berbanding dengan agama, bahasa diturunkan sejajar dengan kewujudan bangsa. Agama tidak diturunkan kepada kaum dan geografi tertentu, sebaliknya diturunkan secara umum untuk semua manusia di dunia. Dengan hal yang demikian, hampir setiap bangsa mempunyai bahasanya sendiri. Oleh sebab itu, bangsa Inggeris tidak mengamalkan bahasa Melayu, dan bangsa Jepun tidak berbahasa Perancis. 



Dengan penurunan berdasarkan bangsa, bahasa menjadi anugerah kepada kaum berkenaan. Oleh itu, bahasa Melayu ialah anugerah Allah kepada bangsa dan keturunan Melayu. Lazimnya sesuatu pemberian istimewa akan dijaga, dipelihara, dan dibanggakan oleh penerimanya, sebagai tanda penghargaan kepada pihak yang memberi anugerah itu. Untuk menjaga bahasa, kita hendaklah sentiasa menggunakannya dengan betul.



Penobatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan melalui Perkara 152 Perlembagaan Malaysia dibuat oleh sekumpulan orang bukan Melayu yang diketuai Lord Reid yang diguna pakai semenjak tahun 1957. Hal ini mungkin secara tersiratnya mengharapkan orang Melayu dan keturunannya yang menjadi golongan majoriti di negara ini melestarikan bahasa anugerah itu. Peristiwa ini bukan sekadar kebetulan, kerana hal yang sama juga terjadi di Indonesia dan di Brunei.



Persoalannya, adakah bahasa Melayu dimartabatkan oleh semua orang Melayu? Hakikatnya, perkembangan sekarang menampakkan bahawa bahasa Melayu semakin terpinggir daripada bangsanya sendiri kerana semakin serasi berbahasa kedua. Orang Melayu menjadi fokus kerana bahasa itu milik keturunan Melayu, berbanding dengan orang India dan Cina di Malaysia yang hanya memikul kehendak Perlembagaan yang perlu menggunakan bahasa kebangsaan dalam situasi rasmi.
Sebaliknya, orang Melayu di Malaysia memikul dua tanggungjawab paling besar secara serentak, iaitu menggunakan dan menjaga kelestarian bahasa Melayu, dan kehendak perlembagaan negara.



Arleena Sophia Edward, keturunan Portugis-Melayu dari United Kingdom dalam halaman forum di Utusan Malaysia 7 Mei 2004, berpendapat bahawa jika Thailand, Jepun, Korea, dan beberapa negara barat seperti Perancis, Jerman, Itali dan sebagainya boleh menggunakan bahasa ibunda mereka dalam pentadbiran dan kebanyakan urusan, bahasa Melayu di Malaysia juga berkemampuan.
Sebenarnya negara-negara tersebut beberapa langkah di hadapan berbanding Malaysia dari segi ekonomi dan perhubungan antarabangsa walaupun menggunakan bahasa sendiri. 



Datuk A. Aziz Deraman, mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka pernah berkata bahawa persepsi masyarakat agak bercelaru antara keperluan menguasai bahasa asing serta kedudukan bahasa sendiri yang mesti dijunjung. Bahasa asing tidak sepatutnya diletakkan sebagai bahasa yang tidak boleh sekiranya tidak dipelajari, tetapi wajar dijadikan bahasa keperluan sahaja.



Maksudnya, bahasa asing boleh digunakan dalam keadaan yang memaksa penggunaan bahasa berkenaan sahaja. Oleh itu, urusan yang dibuat dengan orang Malaysia yang rata-rata dapat berbahasa Melayu dengan baik tidak wajar menggunakan bahasa asing.



Hal ini dengan jelas menunjukkan bahawa kita tidak boleh mengabaikan bahasa asing yang penting untuk perhubungan antarabangsa, tetapi tidaklah sampai memacakkan batu nesan untuk bahasa sendiri.

No comments:

Post a Comment